Selasa, 4 Julai 2017

USAH TERPESONA DENGAN KELEMBUTAN AKHLAK PARA PELAKU BID'AH DAN SYIRIK



Ramai di kalangan umat Islam khususnya orang awam mudah terikut-ikut dengan fahaman dan amalan yang dibawa oleh Ahli Bid’ah disebabkan oleh sifat akhlak dan ibadah yang ditampilkan olehnya.


Padahal semua ini adalah gimik atau helah Ahli Bid’ah tersebut bagi mengelabui mata orang awam dari melihat kebatilan yang dibawa oleh mereka, disamping mengharapkan sanjungan dan pujian daripada orang awam terhadap akhlak dan ibadah mereka.

Disebutkan di dalam kitab Thabaqat al-Hanabilah 1/233-234, no. 325 bahawa ada seorang lelaki mengadu kepada al-Imam Ahmad rahimahullah berkenaan seorang lelaki tua yang suka bergaul dengan salah seorang tokoh bid’ah, Harith al-Qashir yang dilihatnya sebagai seorang yang lembut akhlaknya, khusyuk dalam ibadah dan pelbagai kebaikan lainnya. Mendengarkan yang demikian, al-Imam Ahmad rahimahullah dengan marah berkata kepadanya:

Janganlah kau tertipu dengan kekhusyukan dan kelembutannya. Dan jangan kau terpedaya dengan kebiasaannya menundukkan kepalanya (iaitu menzahirkan sifat rendah dirinya) kerana sesungguhnya dia adalah lelaki yang jahat (Ahli Bid’ah). Dia itu tidaklah mengetahuinya kecuali yang telah berpengalaman dengannya!.

Sehubungan dengan hal ini, Syeikh Walid bin Muhammad Nubaih menulis di dalam kitabnya, Syarhu Ushulu Sunnah, ms. 53:

Sebahagian orang tertipu dengan Ahli Bid’ah disebabkan kezuhudan dan kekhusyukan serta tangisan atau selainnya dari banyaknya ibadah yang mereka lihat pada mereka. Akan tetapi hal ini bukanlah suatu barometer yang benar dalam mengetahui kebenaran. Nabi telah bersabda kepada para sahabatnya, menyebutkan sebahagian sifat Ahli Bid'ah:

يُحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ قِي صَلاَتِهِ، وَصِيَامَهُ فِي صِيَامِهِ.

Salah seorang di antara kamu merasa hina solatnya (jika) dibandingkan solat mereka (Ahli Bid’ah Khawarij) dan puasanya (jika) dibandingkan puasa mereka. - Shahih Muslim, no. 1064.

Telah diriwayatkan dari al-Auza’i, ia berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa barangsiapa yang berbuat bid’ah yang sesat maka Syaitan akan menjadikannya cinta beribadah dan meletakkan pada dirinya rasa khusyuk dan menangis agar ia dapat memburunya.

Dalam pada itu, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menulis di dalam kitabnya, Fath al-Baari 12/283 dengan katanya:

Orang-orang Khawarij (Ahli Bid’ah) ini digelar al-Qurra’ (para pembaca al-Qur’an) disebabkan kesungguhan dan ketekunannya dalam membaca al-Qur’an dan beribadah. Hanya saja, mereka salah faham dalam mentafsirkan makna al-Qur’an dan lebih mengkedepankan pendapat peribadi. Di sisi lain, sikap mererka sangat berlebihan di dalam menjalankan kezuhudan, kekhusyukan serta ibadah lainnya.

{PENGAJARAN PENTING}:

Baik atau tidaknya akhlak seseorang hendaklah diukur berdasarkan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih, BUKAN dengan persangkaan dan perasaan semata atau gelaran agama yang disandang olehnya serta kemasyhuran yang diraihnya di sisi masyarakat. Juga bukan dengan kemasnya jubah dan serban yang dipakainya serta kelembutannya dalam berbicara.

Jika seseorang itu telah terbukti penentangannya terhadap sunnah Nabi dan para pendakwah sunnahnya, dan pada waktu yang sama tegar dalam membela kesyirikan serta bid'ah, apakah masih boleh dikatakan bahawa mereka ini adalah baik di sisi Allah dan Rasul-Nya sehingga kita mengangkat dan mengagung-agungkan mereka?

Apakah lagi sifat angkuh yang lebih besar selain daripada keangkuhan untuk tunduk kepada Allah dan Rasul-Nya?


Tiada ulasan:

Halaman