Rabu, 11 Disember 2019
Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab Rahimahullah Berkata.
“Aku ingatkan orang-orang yang menyelisihiku:
"Seluruh manusia berkewajiban untuk mengikuti apa yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada umatnya.
"Bukankah kitab-kitab agama ada pada kalian? Bacalah!
"Janganlah kalian mengambil sedikitpun dari perkataanku!
"Namun jika kalian mendapatkan hadits-hadits Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam kitab-kitab tersebut,maka amalkanlah!
"Meskipun kebanyakan manusia tidak mengamalkannya…
"Jangan kalian menaatiku!
"Namun taatilah perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab kalian…
"Ketahuilah bahwa tidak ada yang bisa menyelamatkan kalian melainkan hanya berpegang teguh kepada tuntunan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
"Hidup di dunia ini hanyalah sementara.Tidak pantas bagi orang yang berakal untuk melupakan surga dan neraka.” (Kitab ad-Durar as-Saniyyah: I/89-90).
Khamis, 3 Oktober 2019
BERHENTI MEMPELAJARI AGAMA DAN GHAIB DARI MAJLIS ILMU
Ilmu merupakan antara perkara bernilai dalam hidup, tidak perlu diceritakan kelebihan atau fadhilat ilmu. Semuda-muda manusia pun tahu kepentingannya.
Apakah yang terjadi apabila seseorang berhenti daripada menghadiri majlis ilmu?
1- Dia tak akan mendapat semua kurniaan yang Allah khaskan kepada penuntut ilmu seperti; rahmat, sakinah, keampunan, dan diangkatkan darajat di sisi-Nya.
2- Masa yang tidak diisi dengan kebaikan bertukar kepada aktiviti yang melalaikan. Jangan salah anggap, aktiviti yang menjadi keperluan manusia itu mesti, ia dapat dianggap sebagai ibadah juga.
Cuma masa manusia itu pastinya tidak semua berisi dengan kerja, keluarga, dan ibadah. Akan ada senggang kekosongan. Inilah yang biasanya jika tidak dipenuhkan dengan kebaikan akan cenderung ke arah melalaikan.
3- Kehilangan zat pada ruh, ini kerana ilmu kepada jiwa umpama makanan kepada jasad. Perasan atau tidak, sesiapa lama tidak menghadiri/belajar ilmu akan rasa kekosongan jiwa pada minggu-minggu yang berlalu? Ini adalah sesuatu yang nyata.
4- Majlis ilmu juga adalah majlis nasihat dan tazkirah kepada manusia, ia bentuk muhasabah yang paling mudah. Manusia ini mudah alpa dan susah untuk menasihatkan diri sendiri. Jadi sesiapa yang hilang dari majlis ilmu, hilang jugalah faedah ini pada dirinya.
Berkata Abu Hazim rahimahullah:
" لاَ تكون عَالمًا حتَّى تكُونَ فيِكَ ثلاث خِصالٍ: لاَ تَبغِي عَلىَ مَنْ فوقكَ، وَلاَ تحقرْ مَنْ دُونَكَ، وَلاَ تأخذْ عَلىَ عِلْمِكَ دُنْيَا"
[ شعب الإيمان، للبيهقي: 2/288]
"Engkau tidak akan menjadi orang yang berilmu melainkan pada diri mu ada tiga perkara: 1- Engkau tidak mencari-cari orang yang berada di atas mu 2- Engkau tidak merendah-rendahkan orang yang di bawah mu 3- Engkau tidak mengambil kesempatan dengan ilmu mu (perkara-perkara) dunia"
Manusia akan bertambah baik dari semasa ke semasa dengan ilmu. Jangan pernah berkata ilmu telah cukup di dada, kerana tetap akan ada ruang untuk kita memperbaiki diri sehinggalah ajal kita tiba. Jadinya, cubalah perutukan masa khas untuk menuntut ilmu.
Boleh insyaAllah.
Ustad Yasir Ramlee

Ahad, 30 Jun 2019
Pengenalan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah
Tajuk: "Ketokohan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah; Seorang Ulama, Pejuang Islam Dan Penegak Sunnah Yang Dizalimi."
PENGENALAN SYEIKHUL ISLAM IBNU TAIMIYYAH
Nama beliau Ahmad bin Abdul Halim bin Abdussalam bin Abdullah bin al-Khadhir bin Muhammad bin al-Khadhir bin Ali bin Abdullah bin Taimiyyah an-Namiri al-Harrani ad-Dimasyqi [Ruj. 11, hlm. 874]. Gelarannya Abu al-Abbas Taqiyuddin dan disifatkan sebagai Syeikhul Islam yang menjadi lambang kepada ulama Islam di zamannya.
Beliau dilahirkan pada hari Isnin 10 Rabi'ul Awwal, 661 H di Harran, satu kawasan di sebelah timur laut Turki. Ada pendapat lain mengatakan Harran yang dimaksudkan adalah Harran di timur Damaskus. Pendapat yang pertama lebih sahih, sebagaimana tutur Ibnu Abdil Hadi bahawa dahulu ayahanda Ibnu Taimiyyah mengajak keluarganya berhijrah dari Harran menuju Syam. Ini menegaskan bahawa Harran yang dimaksudkan adalah Harran yang terletak di luar Syam [Ruj. 6, hlm. 27]
Menurut sejarah, Harran ialah sebuah kota bersejarah yang sangat penting sebagai pusat agama dan ilmu pengetahuan bagi penganut Syabiah Kuno. Kota ini juga terkenal kerana menjadi sumber ilmu falsafah dan ilmu Yunani Kuno [Ruj. 1, hlm. 3].
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dilahirkan di negeri yang terletak antara Sungai Dajlah dengan Sungai Furat, yang terbahagi menjadi dua bahagian, iaitu bahagian selatan dan bahagian utara. Bahagian selatan disebut Iraq Arab, yang di dalamnya termasuk Baghdad dan Basrah, manakala bahagian utara, yang dalam budaya Arab Kuno, dikenal sebagai perkampungan Bakar dan perkampungan Madhar. Para ahli geografi Arab menyebutnya sebagai Jazirah [Ruj. 1, hlm. 3].
Syeikhul Islam lahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga mulia yang diberkati. Keluarga yang sarat dengan ilmu dan keutamaan. Datuk beliau Abu al-Barakat Majduddin adalah seorang tokoh terkemuka dalam kalangan mazhab Hanbali. Ayahandanya, Syihabuddin Abdul Halim termasuk seorang tokoh ulama pembawa pertunjuk Allah Swt telah mempersiapkan kemuliaan beliau di dunia dan akhirat. Ketika usia enam tahun, di saat asakan bertalu-talu pihak Tartar mula terasa di wilayah Timur Tengah, bahkan mula mendekati wilayah Harran, beliau dibawa oleh keluarganya ke wilayah Syam bersama saudara-saudaranya yang lain, bersama dengan buku-buku yang bernilai tinggi [Ruj. 2, hlm. 1-2].
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ialah salah seorang ulama yang sangat popular dalam kalangan umat Islam. Justeru, tidak hairanlah jika ulama-ulama sesudahnya banyak menterjemahkan biografi dan karya beliau. Banyak yang telah ditulis tentang perjalanan hidupnya, baik yang berbentuk artikel mahupun yang berbentuk biografi. Sebagaimana karismatiknya beliau dalam pandangan para ulama, idea dan pemikiran beliau juga cukup popular. Apabila kita ingin tahu kedudukan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, maka ketahuilah bahawa Ibnu Qayyim al-Jauziyah adalah muridnya. Apabila kita ingin tahu ukuran kegeniusan yang diberikan oleh Allah Swt kepada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, maka ketahuilah bahawa Imam Ibnu Katsir juga adalah termasuk muridnya [Ruj. 1, hlm. 1].
Pada 1282 H, selepas ayahnya meninggal dunia, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menggantikan kedudukan ayahnya sebagai guru besar mazhab Hanbali. Beliau memangku jawatan ini selama 17 tahun. Namun, cara berfikirnya yang bebas menimbulkan permusuhan dengan penganut mazhab Syafie, sehingga jawatan itu terlepas dari tangannya. Biarpun begitu, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah waktu itu telah terkenal di dunia Islam, dan ditugaskan berkhutbah jihad melawan orang Mongol yang menyerang Syam dan menakluki Damsyik. Khutbahnya berjaya menggembleng rakyat dan menarik hati raja Mesir, Sultan an-Nasir Muhammad bin Qalawun, untuk mengangkat senjata melawan orang Mongol. Dalam perang dahsyat di Marj al-Safa, pada 1302 M, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berjuang dengan gagah dan berani, sehingga orang Mongol dapat dihalau dan mengalami kekalahan besar. Selepas kematian ayahnya juga, berlaku kekosongan pakar dalam bidang hadis di Darul Hadith al-Sukriyyah. Tugas itu akhirnya diambil alih oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, yang menurut Imam Ibnu Katsir, baru berusia 22 tahun [Ruj. 1, hlm. 9].
SIFAT DAN KEPERIBADIAN
Beliau seorang Syeikh al-Islam, faqih, mujtahid dan mujahid, penghafaz hadis beserta sanad, pentafsir al-Quran, dan seorang yang tidak menjadikan dunia sebagai satu matlamat hidupnya.
Syeikh Mamluk selalu mengatakan: "Kehebatan yang ada pada Ibnu Taimiyyah jauh lebih hebat daripada diriku, kehebatannya lebih lagi terserlah apabila beliau mempunyai sifat zuhud, warak, mempunyai ciri-ciri orang yang beragama, menjadi penolong kepada kebenaran dan juga seorang yang menegakkan sesuatu yang benar tanpa mengharapkan balasan daripada makhluk, akan tetapi ganjaran daripada Allah sahaja menjadi matlamatnya." Selain daripada itu, beliau seorang yang berpegang dengan Manhaj Salaf, bahkan beliau mengambil seluruh Manhaj Salaf untuk dijadikan pegangan di dalam hidupnya. Beliaulah seorang yang paling asing di zamanku, bahkan di seluruh zaman [Ruj. 5, hlm. xx]
Berkata Syeikh al-Hafizh al-Mizzi, "Aku tidak pernah melihat seseorang seperti beliau, dan beliau juga tidak pernah melihat seseorang yang seperti dirinya sendiri. Al-Imam adz-Dzahabi telah memasukkan nama Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah di dalam sebuah kitab yang dikumpul di dalam nama-nama masyaikh (syeikh-syeikh) dan ulama-ulama lalu beliau menyifatkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dengan mengatakan, 'Aku dapati hanya beliau satu-satunya Syeikh al-Islam pada zaman ini, beliau mempunyai ilmu dan kefahaman, berani, genius, penasihat bagi ummah ini, seorang yang menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran', dan pelbagai lagi sifat-sifat terpuji yang ada pada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah." [Ruj. 5, hlm. xviii-xix].
GURU-GURU DAN MURID-MURID
Selain Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahab dan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani yang dituduh tidak berguru, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga tidak terlepas dari suara-suara sumbang yang mendakwa bahawa beliau tidak berguru. Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.
Ibnu Abdul Hadi menyebut bilangan guru Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah melebihi 200 orang. Gurunya yang paling utama ialah Zainuddin Ahmad bin Abdul Daim bin Ni'mat al-Maqdisi. Antara guru beliau di dalam bidang hadis ialah [Ruj. 1, hlm. 7-8]:
1.Zainuddin Ahmad bin Abdul Daim al-Maqdisi.
2.Ibnu Abi al-Yusr.
3.al-Kamal bin Abdul.
4.al-Majd bin 'Asakir.
5.al-Jamal Yahya al-Syarafi.
6.Ahmad bin Abi al-Khayr.
7.al-Qasim al-Arabali.
8.Fakhruddin bin al-Bukhari.
9.al-Kamal Abdul Rahim.
10.Abu Qasim bin 'Ilam.
11.Ahmad bin Shaiban.
12.Ibnu 'Abdan.
13.Syamsuddin al-Hanbali.
14.Syamsuddin 'Ata' al-Hanafi.
15.Jamaluddin al-Baghdadi.
16.al-Najib al-Miqadad.
17.Ibnu Abu Bakr al-Yahudi.
18.al-Fakthr bin 'Ali.
19.al-Sharf bin al-Qawwas.
20.Zainab binti Makkiy.
Dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga melahirkan ramai murid-murid yang hebat yang tidak diragukan lagi, antaranya [Ruj. 11, hlm. 903]:
1.Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin al-Manja bin Utsman bin As'ad bin al-Manja at-Tanukhi ad-Dimasqy.
2.Jamaluddin Abu al-Hajjaj Yusuf bin az-Zaki Abdurrahman bin Yusuf bin Ali al-Mizzi. (Ulama hadis yang masyhur)
3.Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abdul Hadi. (Ulama hadis yang masyhur)
4.Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah ad-Dimasyqi adz-Dzahabi. (Ulama hadis dan ahli sejarah yang masyhur).
5.Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abu Bakar Ibnu Ayyub, yang masyhur dengan panggilan Ibnu Qayyim al-Jauziyah. (Murid yang sangat rapat dan bersama dengan Ibnu Taimiyyah di dalam penjara).
6.Shalahuddin Abu Sa'id Khalil bin al-Amir Saifuddin Kaikaldi al-Ala'i ad-Dimasyqi.
7.Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Muflih bin Muhammad bin Mufarrij al-Maqdisi.
8.Syarafuddin Abu al-Abbas Ahmad bin al-Hasan bin Abdullah bin Abu Umar bin Muhammad bin Abu Qudamah.
9.Imaduddin Abu al-Fida' Ismail bin Umar bin Katsir al-Bashri al-Qurasyi ad-Dimasyqi. (Ulama hadis, ahli sejarah dan ahli tafsir yang masyhur. Seorang yang sangat menyayangi Ibnu Taimiyyah, bahkan beliau meminta supaya jenazah beliau dikebumikan bersebelah makam gurunya, Ibnu Taimiyyah).
10.Taqiyuddin Abu al-Ma'ali Muhammad bin Rafi' bin Hijris bin Muhammad ash-Shamidi as-Salami.
Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan: "Seandainya Syeikh Taqiyuddin (Ibnu Taimiyyah) tidak mempunyai keutamaan yang lain selain hanya mengeluarkan seorang murid yang terkenal seperti al-Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyah 'pengarang beberapa karya besar yang diambil manfaatnya oleh pendukung dan musuh', itu sahaja sudah cukup kuat sebagai bukti nyata betapa agung kedudukan beliau (Ibnu Taimiyyah)." [Ruj. 2, hlm. 8-9]
KEILMUAN
Keutamaan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sudah nampak sejak kecil. Diceritakan oleh al-Bazzar dalam A'lamul 'Aliyyah, setiap kali hendak menuju tempat belajar, Ibnu Taimiyyah dihalang oleh seorang Yahudi dengan sejumlah pertanyaan kerana melihat kecerdasannya yang luar biasa. Semua pertanyaan itu dijawab dengan cepat oleh Ibnu Taimiyyah. Bahkan beliau menjelaskan kepada orang Yahudi bahawa kebatilan yang diyakininya selama ini, orang Yahudi itupun memeluk Islam dan memperbaiki Islamnya. Seiring dengan kemasyhuran beliau dalam ilmu dan fiqh, amar makruf nahi munkar, Allah Swt menganugerahkan pula kepada beliau berbagai sifat terpuji, hingga beliau dikenali bahkan dipersaksikan oleh manusia tentang keadaan ini [Ruj. 2, hlm. 2].
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mula-mula menuntut ilmu agama daripada ayahnya yang bernama Abdul Halim. Ayahnya lahir pada tahun 627 H bersamaan 1230 M. Beliau alim dalam ilmu hadis, dan berkhutbah di masjid Damsyik, Syam. Selepas berpindah dari Harran ke Damsyik, beliau aktif mengajar di Madrasah al-Amawi yang terkenal sebagai markas para ulama dan guru besar.
Pengajar madrasah itu disyaratkan mampu berbincang dan membahaskan bahan kuliah tanpa membuka buku ketika mengajar. Jadi, bukan semua ulama atau guru dapat mengajar di madrasah itu. Seterusnya Ibnu Taimiyyah menyambung pengajian di Madrasah al-Sukriyyah, al-Jawziyyah, dan al-Umariyyah.
Sepanjang pengajian tersebut, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah menghafal al-Quran dan hadis, serta belajar tafsir, hadis, tauhid, fiqh, usul fiqh, sejarah, ilmu kalam, nahu, saraf, balaghah, matematik, ilmu logika (mantik), falsafah, seni khat dan bahasa. Jadi, tidak menghairankan apabila Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah kemudiaannya menjadi ulama yang menguasai banyak disiplin ilmu. Kerana kepintaran inilah beliau telah diamanahkan menjadi pengajar dan memberi fatwa meskipun ketika umurnya baru 17 tahun.
Dalam pengajian tafsir, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah mengkaji lebih kurang 100 buah kitab tafsir. Beliau dapat membezakan kesalahan dalam kitab-kitab tersebut berdasarkan pemahamannya yang mendalam terhadap al-Quran dan hadis. Dalam pengajian hadis, beliau telah menghafal al-Jam' Bayn al-Sahihayni oleh Imam al-Humaidi. Beliau juga mempelajari kitab-kitab musnad Imam Ahmad, Sunan Sittah, sunan al-Daruqutni, al-Muwatta' dan Mu'jam al-Tabrani.
[Ruj. 1, hlm. 6-7]
Keluasan ilmu dan pengetahuan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ini sehingga diibaratkan jika beliau berbicara tentang ilmu fiqh seolah-olah beliau hanya mendalami dan pakar di bidang fiqh sahaja. Jika beliau berbicara tentang mazhab Hanafi seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Hanafi. Jika beliau berbicara tentang mazhab Maliki seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Maliki. Jika beliau berbicara tentang mazhab Syafie seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Syafie. Hakikatnya beliau adalah ulama besar dan mujtahid di dalam mazhab Hanbali sekaligus tokoh terkemuka al-Hanabilah.
Kamaluddin al-Zamlakani pernah berkata: "Jika ahli-ahli fiqh dari berbagai-bagai mazhab menghadiri majlis Ibnu Taimiyyah, mereka akan mendapat banyak faedah mengenai mazhab mereka." [Ruj. 3, hlm. 46].
Jika beliau berbicara tentang ilmu tafsir al-Quran, beliau adalah seorang mufassir yang hebat, dan seolah-olah beliau hanya mendalami dan pakar di bidang tafsir sahaja.
Beliau mempelajari, meneliti dan menganalisis pendapat-pendapat yang ada pada kitab-kitab tafsir, baik ulama-ulama yang dahulu mahupun ulama-ulama yang sezaman dengannya, kemudian mengutarakan pendapatnya sendiri sebagaimana kebiasaannya pada bidang ilmu yang lain. Beliau memiliki tafsir sendiri dan tafsir yang dimilikinya sangat mengagumkan. Terkadang dalam penafsirannya beliau menampilkan suatu ayat dan mengambil maksud, makna dan kandungan ayatnya, dan terkadang beliau menampilkan berbagai pendapat ulama ahli tafsir dan menunjukkan kelemahan dan kesalahannya berdasarkan dalil-dalil yang kuat. Beliau dapat menyelami makna ayat-ayat al-Quran secara terperinci dan mampu menghurai secara mendalam mana-mana ayat yang menimbulkan kemusykilan, juga berupaya mengeluarkan ayat-ayat al-Quran sebagai dalil dan hujah pada bila-bila masa yang dikehendaki [Ruj. 3, hlm. 48]
Dinukilkan Zainuddin Abdul Rahman antara adik-beradik Ibnu Taimiyyah telah mengkhabarkan kepada orang ramai bahawa Syeikhul Islam telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 80 kali, dan bilangan yang ke-81 beliau hanya sempat membacanya sehingga ke ayat:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai, di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendaknya-Nya." (Qs. al-Qamar: 54-55) [Ruj. 5, hlm. xxi-xxii]
Jika beliau berbicara tentang ilmu hadis seolah-olah beliau adalah seorang yang hanya mendalami dan pakar di bidang hadis sahaja.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah amat menguasai ilmu Rijal al-Hadis (perawi hadis) yang berguna dalam menelusuri hadis daripada periwayat atau pembawanya, dan Funun al-Hadis (macam-macam hadis), baik yang lemah atau cacat. Beliau memahami semua hadis yang termuat dalam Kutubus Sittah (kitab hadis yang enam) dan al-Musnad [Ruj. 1, hlm. 8].
Imam adz-Dzahabi mengatakan: "Dia (Ibnu Taimiyyah) memiliki keahlian yang sempurna tentang rijal (para perawi hadis), Jarh wa Ta'dil dan tingkatan mereka, mengetahui berbagai disiplin ilmu hadis, sanad yang tinggi dan yang rendah, sahih dan dhaif, di samping hafal matan-matannya yang tiada duanya. Tidak ada seorang pun pada masa ini yang mencapai tingkatannya atau mendekatinya. Dia adalah orang yang mengagumkan dalam menghadirkan dan menggali hujjah-hujjah darinya. Kepadanyalah berpuncak dalam hal penisbatan kepada Kutubus Sittah (kitab; al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud, an-Nasa'i, dan Ibnu Majah) dan Musnad, sehingga boleh dibenarkan jika dikatakan, 'Setiap hadis yang tidak diketahui oleh Ibnu Taimiyyah, maka ia bukanlah hadis'." [Ruj. 11, hlm. 876]
Kepakaran Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah di bidang hadis sehinggakan al-Syeikh Abul Hasan an-Nadwi yang mengatakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah seorang "Amirul Mukminin" pada zamannya.
[Ruj: Dr. Kamilin Jamilin; Seminar Syeikhul Islam Ibn Taimiyah Ilmuan Versatil]
Jika beliau berbicara tentang ilmu bahasa Arab seolah-olah beliau hanya mendalami dan pakar di bidang bahasa Arab sahaja. Beliau memberi perhatian khusus terhadap bahasa Arab. Guru beliau dalam bahasa Arab ialah Ibn Abd al-Aqwa. Beliau dapat menguasai tatabahasa Arab termasuk buku al-Kitab karya Sibawaih (Imam bahasa Arab). Bahkan beliau mampu mengesan 80 tempat kesalahan di dalam kitab Sibawaih. Mengikut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: "Sibawaih bukan seorang ahli tatabahasa Arab, dengan hal yang demikian dalam al-Kitab karyanya itu ada terdapat lebih 80 tempat kesalahan." [Ruj. 3, hlm. 49].
Disebabkan kehebatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang berjaya mendedahkan sebanyak 80 kesalahan dalam kitab Sibawayh fi-Nahw karangan Umar bin Uthman bin Qanbar, kesannya ialah berlaku perubahan sikap Abu Hayyan al-Tawhidi, yang pada awalnya sangat menyanjung Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, tetapi selepas itu berbalik memusuhinya [Ruj. 1, hlm. 7].
Beliau juga mempunyai kepakaran di dalam bidang falsafah dan ilmu kalam sehingga dapat menandingi ahli falsafah di zamannya dan dapat melawan serta memperbetulkan kesalahan atau kebatilan yang telah dilakukan oleh ahli falsafah. Allah Ta'ala telah menganugerahkan semua kepakaran dan ilmu-ilmu tersebut kepada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebelum umurnya mencecah 20-an. Antara kurniaan Allah Ta'ala kepada beliau juga ialah kepantasan menghafal, memahami kata-kata atau ilmu yang didengar dengan pantas dan mendalam, lambat lupa apa yang dihafal, sehingga dinukilkan oleh sekumpulan manusia bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tidak pernah melupai apa yang telah dihafal [Ruj. 5, hlm. xvi].
Beliau juga mempelajari ilmu-ilmu sains sejak kecil dan bertalaqqi ilmu fiqh dan usul daripada ayahnya serta bersama Syeikh Shamsuddin bin Abi Umar, Syeikh Zainuddin bin Munajja. Beliau mempelajari ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Ibnu Abdul Qawiyy, kemudian dengan kesungguhan dan mujahadah yang ada pada dirinya, beliau dapat mengkhatamkan sendiri kitab Sibawaih (pakar bahasa) dengan kefahaman yang mendalam. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah merupakan seorang penuntut ilmu yang tekun di dalam bidang tafsir al-Quran sehingga muncul sebagai mufassir yang hebat. Kehebatannya juga terbukti di dalam ilmu faraid, matematik, algebra, juga di dalam ilmu perbandingan agama dan cabang-cabang ilmu yang lain [Ruj. 5, hlm. xvi].
Beliau dapat menguasai pelbagai cabang ilmu yang tidak mampu dijangkau oleh para tokoh pada zamannya. Berdasarkan ilmunya yang luas ini, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berusaha untuk membetulkan ajaran-ajaran agama Islam pada zamannya yang sudah banyak tercemar dengan adat tradisi, pemikiran filosof (ahli falsafah) dan agama-agama yang lain. Beliau banyak menulis, memberi ceramah, khutbah dan fatwa. Usaha keras membela kemurnian Islam ini menyebabkan beliau masyhur digelar sebagai Syeikh al-Islam di kalangan orang-orang yang setuju dan menghargai usahanya [Ruj. 4, hlm. 12].
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga merupakan seorang ahli sejarah yang hebat. Imam adz-Dzahabi menyebutkan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah seorang ahli sejarah. Beliau sangat memerhatikan berdirinya sebuah negara, raja-raja dan orang-orang yang hidup di zamannya dan umat-umat yang hidup di zaman kuno serta kabilah-kabilah tertentu. Beliau memerhatikan sejarah sebelum kedatangan Islam, sehingga banyak permasalahan yang ahli sejarah sendiri tidak memerhatikannya, dijelaskan dengan luas. Seperti ketika ditanya mengenai Iskandar al-Makedonia, beliau menjelaskan bahawa Iskandar ada dua, kemudian menjelaskan satu persatu. Beliau memerhatikan sejarah negara-negara, orang-orang yang menguasainya seperti para raja, menteri, walaupun negara itu tidak jelas dan diketahui sejarahnya oleh orang ramai kerana beliau sangat gemar membaca dan menelaah permasalahan-permasalahan yang ada pada ilmu tertentu. Pengetahuannya yang luas, ilmunya yang banyak, benar-benar digunakan agar dapat diambil manfaat oleh orang lain [Ruj. 3, hlm. 50-51].
Dalam mengemukakan ayat-ayat sebagai hujah dan dalil, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah memiliki kehebatan yang luar biasa, sehingga mampu mengemukakan kesalahan dan kelemahan para mufassir atau ahli tafsir. Setiap malam beliau menulis tafsir, fiqh, ilmu usul sambil mengulas pandangan ahli falsafah. Dalam tempoh sehari semalam beliau mampu menulis empat buah kurrosah (buku kecil) yang memuatkan pelbagai pendapatnya dalam bidang syariah. Ibnu Wardi mencatatkan dalam Tarikhul Ibnul Wardi, bahawa karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mencapai 500 judul. Karya-karya beliau yang terkenal adalah Majmu' al-Fatawa yang berisi masalah fatwa dalam agama Islam [Ruj. 1, hlm. 8].
Majmu' Fatawa Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah merupakan koleksi jumlahan yang teramat besar dari fatwa-fatwa Ibnu Taimiyyah yang menyentuh hampir ke semua disiplin ilmu Islam. Usaha pengumpulan fatwa-fatwa beliau telah dilakukan oleh ramai sarjana Islam namun edisinya yang terkenal dan komprehensif, yang menjangkaui hampir 35 jilid, adalah apa yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Muhammad bin Qasim bersama anak beliau Muhammad [Ruj. 8, hlm. 70].
Pada 9 Jamadil Akhir 728 H, kertas, kitab-kitab dan rujukan beliau dikeluarkan dari penjaranya. Mengikut sesetengah ulama, kesemuanya berjumlah 60 jilid dan 14 gulung kertas. Jika beliau tidak dipenjara mungkin kitab dan karangannya tidak sebanyak yang ada sekarang. Itupun adakalanya lebih 2 tahun beliau dilarang dari menulis, disekat daripada mencatatkan fikrah dan ilmunya semasa di dalam penjara. Sekiranya sekatan ini tidak ada, mungkin kitab dan karangannya akan lebih banyak lagi [Ruj. 3, hlm. 61].
DUGAAN DAN UJIAN
Siapa sahaja yang mempelajari biografi Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, dia akan mengetahui secara meyakinkan mengapa beliau tidak menikah, dan meninggalkan sunnah yang agung ini, padahal dia adalah orang yang paling bersemangat dalam mengikuti sunnah. Jawapannya adalah kerana beliau tidak memiliki peluang dalam kehidupannya yang mencapai 60 tahun untuk menikah. Dia mengalami dari satu peperangan ke peperangan lainnya, dari satu penjara ke penjara lainnya, dan dari satu perdebatan ke perdebatan lainnya [Ruj. 11, hlm. 873]
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah kerapkali dipenjara disebabkan fitnah-fitnah terhadap beliau [Ruj. 7, hlm. xiii]:
(1) Penjara Pertama: Di Damaskus, pada tahun 693 H. Ini disebabkan oleh fitnah yang dikobarkan oleh seorang Nasrani yang mengaku sebagai seorang Muslim. Orang ini mengadukan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mencela dan mencaci Nabi Saw, maka beliau ditahan untuk beberapa ketika. Orang Nasrani tersebut kemudian mati terbunuh ketika dalam perjalanan menuju Hijaz, dan yang membunuhnya adalah anak saudaranya sendiri. Dan kerana kejadian itu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menulis kitab ash-Sharim al-Maslul Ala Syatim ar-Rasul (Pedang Tajam Yang Terhunus Atas Orang Yang Mencaci Rasul). Inilah berkah dari ujian Allah.
(2) Penjara Kedua: Di Kairo, selama satu tahun enam bulan yang berakhir pada tahun 705 H. Ini disebabkan oleh masalah "Allah bersemanyam di atas Arasy", dan "Allah turun ke langit dunia."
(3) Penjara Ketiga: Di Mesir, selama beberapa hari sahaja pada tahun 707 H. Disebabkan desakan keras orang-orang tarikat (pengikut sufi) untuk bertindak keras terhadap beliau. Hal itu kerana Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah melarang bertawasul dengan makhluk-makhluk, juga kerana kritikan beliau yang tajam terhadap tokoh sufi Ibnu Arabi.
(4) Penjara Keempat: Juga di Mesir, dari akhir tahun 707 H sampai awal tahun 708 H, selama lebih kurang dua bulan.
(5) Penjara Kelima: Di Iskandariah, Mesir.
(6) Penjara Keenam: Di Damaskus, yang berlangsung selama lima bulan dua puluh lapan hari, pada tahun 720 H sehingga 721 H. Ini dipicu oleh masalah sumpah dalam talak.
(7) Penjara Ketujuh: Juga di Damaskus selama dua tahun tiga bulan lebih, dari tahun 726 H sehingga tahun 728 H, disebabkan oleh masalah ziarah. (Dikutip secara ringkas dari Mukaddimah al-Allamah Bakr bin Abdullah Abu Zaid atas al-Jami' Li Sirah Syaikhil Islam Ibni Taimiyah, hlm. 28-32)
Pernah suatu kali Syeikhul Islam difitnah atau diisukan akan merebut kekuasaan Raja an-Nasir. Ketika dipanggil di hadapan orang ramai, beliau ditanya oleh Raja an-Nasir: "Beta dengar orang ramai mentaati perintah-perintah engkau dan engkau sedang memikirkan rancangan untuk menguasai kerajaan ini." Setelah mendengar ini, dengan suara lantang dan didengar oleh seluruh orang yang hadir ketika itu, Syeikhul Islam berkata: "Saya melakukan hal itu? Demi Allah. Sungguh, kerajaan tuanku dan kerajaan Moghul (Tartar) tidak ada nilainya sesen pun bagi saya." [Ruj. 2, hlm. 4]
Ibnu Katsir, salah seorang murid yang mencintai Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, menceritakan:
Sultan an-Nasir al-Qalawun (W. 741H), ketika kembali kepada kerajaannya untuk kali kedua, beliau mempunyai keinginan yang kuat untuk bertemu dan melihat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Setelah kedua-duanya bertemu, mereka berpelukan, kemudian berbincang-bincang. Di antara pembicaraan mereka, Sultan an-Nasir meminta Syeikhul Islam mengeluarkan fatwa agar baginda menangkap dan menghukum mati beberapa orang qadhi (hakim) yang pernah memburuk-burukkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Bahkan Sultan an-Nasir mendesak beliau supaya mengeluarkan fatwa. Ini kerana Sultan sangat marah kepada mereka yang cuba menggulingkannya dan membai'at al-Jasyinkir. Setelah berjaya membunuh al-Jasyinkir dan menumpaskan beberapa orang tokoh yang terlibat, termasuk Nasr al-Munbaji, Sultan bertekad menangkap pula beberapa orang qadhi dan ahli fiqh yang menyokong al-Jasyinkir, yang beberapa kali mengeluarkan fatwa untuk membunuh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Bagi Sultan, ini merupakan kesempatan untuk melampiaskan dendamnya kepada mereka yang belot kepadanya. Tetapi, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tetap memberikan penghormatan besar kepada para qadhi dan ulama tersebut (yang telah menzaliminya). Beliau menjelaskan kepada sultan tentang kedudukan dan keutamaan mereka. Bahkan beliau mengingkar munculnya ucapan-ucapan buruk terhadap mereka (yang telah menzaliminya). Kata beliau kepada Sultan: "Jika tuanku membunuh mereka (yang telah menzaliminya) ini, nescaya tuanku tidak akan menemui lagi sesudah mereka, tokoh-tokoh seperti mereka. Mereka yang menyakiti saya, dia halal (bebas) dan saya tidak akan berusaha mencari pembelaan untuk diri saya." [Ruj. 2, hlm. 7]
Tidak pernah ada di dalam sejarah kehakiman di mana hakim dan pendakwa adalah orang yang sama kecuali dalam kes Mihnah al-Wasithiyah di Mesir, yang terjadi kepada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Di mana Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dihakimi dan didakwa oleh orang yang sama, yakni al-Qadhi Ibnu Makhluf. Tetapi setelah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkuasa terhadap mereka, beliau tidak melakukan kezaliman dan keburukan yang sama terhadap mereka.
[Ruj: al-Ustaz Asrie Bin Sobri (GASMA) - Seminar Antarabangsa - Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah]
Perhatikan sendiri perkataan al-Qadhi Ibnu Makhluf, salah seorang seteru dan musuh ketat beliau yang pernah menzalimi dan mengarahkan agar Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dipenjara: "Semoga Allah Swt merahmati Ibnu Taimiyyah. Di saat dia berkuasa terhadap kami, dia melimpahkan kebaikan. Sedangkan kami, ketika berkuasa terhadapnya, justeru melakukan keburukan terhadapnya." [Ruj. 2, hlm. 8]
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tetap menulis dan menulis kerana itulah perkara yang membawa kebahagiaan baginya. Walaupun ia dipenjara tetapi hatinya tidak merasa terpenjara. Di dalam penjara ini ia berkata yang kata-kata itu terkenal sampai sekarang, yakni:
"Bila orang-orang yang memenjarakan saya itu tahu bahawa saya dalam penjara ini berbahagia dan merasa merdeka (bebas) maka mereka pun akan dengki atas kemerdekaan saya ini. Dan akhirnya mereka akan mengeluarkan saya dari penjara ini." [Ruj. 9, hlm. 156]
Antara ujian yang dihadapi dan lulus dengan cemerlang oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah Mihnah (ujian) al-Hamawiyah: Pada tahun 698 H, bulan Rabi'ul Awwal, golongan Asya'irah tidak senang dengan Fatwa al-Hamawiyah yang dikeluarkan oleh Ibnu Taimiyyah, lalu Qadhi Mazhab Hanafi; Jalaluddin bin Husamuddin bersama golongan fuqaha' mutakallimin yang lain mengeluarkan arahan supaya beliau hadir untuk diadili, namun Syeikhul Islam enggan kerana isu ini di luar bidang kuasa qadhi. Gabenor Syam; Saifuddin Jaghan menyokong Syeikhul Islam dan qadhi telah dihukum kerana bertindak di luar batas. Kemudian, pada hari Sabtu, 14 Rabi'ul Awwal, al-Qadhi Imamuddin al-Qazwini; Qadhi Mazhab Syafie mengadakan majlis bersama Ibnu Taimiyyah dan dibacakan dalam majlis tersebut 'Fatwa al-Hamawiyah' dari pagi sehingga sepertiga malam lalu setelah mendengar penjelasan Ibnu Taimiyyah, Qadhi Mazhab Syafie memutuskan bahawa Ibnu Taimiyyah benar dan diberikan arahan sesiapa yang mempertikaikan akidah yang difatwakan Ibnu Taimiyyah hendaklah ditakzir [Ruj. 10, hlm. 101].
Antara ujian lain adalah Munazarah al-Wasithiyah: Pada 8 Rajab 705 H, satu Dikri Di-Raja telah sampai ke Syam memerintahkan Gabenor Syam menyoal Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkenaan akidah beliau. Lalu Syeikhul Islam menghadirkan 'al-Aqidah al-Wasithiyah' dan dibacakan kitab akidah tersebut. Pada 13 Rajab, berlaku perdebatan antara Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dengan Sofiyyuddin al-Hindi, ulama besar Asya'irah di Syam pada masa tersebut dan Syeikhul Islam berjaya mematahkan hujah beliau satu persatu. Pada 7 Sya'ban berlaku ittifak daripada Jama'ah Ulama Syam untuk menerima dan redha dengan Aqidah Wasithiyah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah [Ruj. 10, hlm. 101].
USAHA, JASA, DAN PERJUANGAN
Sejarah telah mencatat bahawa bukan sahaja Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagai seorang dai yang tabah, gigih, warak, zuhud dan ahli ibadah, tetapi beliau juga seorang yang berani dan pandai menunggang kuda. Beliau adalah pembela setiap jengkal tanah umat Islam dari kezaliman musuh dengan pedangnya, seperti halnya beliau adalah pembela akidah umat dengan lidah dan pena-nya.
Dengan berani Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berteriak memberikan arahan kepada umat Islam seperti bangkit melawan serbuan tentera Tartar ketika menyerang Syam dan sekitarnya. Beliau sendiri bergabung dengan orang-orang Islam dalam medan pertempuran. Apabila ada salah seorang amir yang mempunyai amalan agama yang baik dan betul kaedahnya, memberikan kesaksiannya: Tiba-tiba ditengah kancah pertempuran terlihat dia bersama saudaranya berteriak kuat memberikan arahan untuk menyerbu dan memberikan peringatan tegas supaya tidak lari. Akhirnya dengan izin Allah Ta'ala, pasukan Tartar berjaya dihancurkan dan selamatlah negeri Syam, Palestin, Mesir dan Hijaz daripada ditakluk oleh mereka.
Ini kerana ketegasan, keberanian dan kelantangan beliau dalam mengajak kepada al-Haq, akhirnya membakar kedengkian serta kebencian para penguasa, para ulama dan orang-orang yang tidak senang dengan beliau. Kaum munafiqun dan kaum yang suka mengambil kesempatan meniupkan racun-racun fitnah hingga beliau mengalami berbagai tekanan di penjara, dibuang, diasing dan diseksa.
[Ruj. 2, hlm. 12]
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tidak pernah ragu-ragu dalam memperjuangkan pendirian ahli salaf. Syirik dan bid'ah yang dibencinya itu diserang dan diberantasnya dalam setiap kesempatan musuh-musuh Islam, ataupun orang-orang yang sengaja atau tidak sengaja memasukkan unsur-unsur luar Islam ditentang habis-habisan, sama ada orang yang memasukkan pengaruh Nasrani atau pengaruh Majusi ke dalam Islam. Apalagi aliran-aliran Murjiah, Kharijiyah (khawarij), Rafidiyah (syiah), Qadariyah, Muktazilah, Qaramitah dan sebagainya. Semuanya tidak lepas dari sasaran kritikan dan hentaman Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Asya'irah juga termasuk yang dikecam, yakni dalam bidang kepercayaan mengenai takdir dan ikhtiar. Pengertian qadar menurut Asya'irah adalah percikan renungan fahaman-fahaman Jahmiyyah dan sebagainya [Ruj. 9, hlm. 159-160].
Inilah antara sebab mengapa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah begitu dibenci oleh musuh-musuh Islam, terutamanya dari kalangan ahli bid'ah. Kerana, boleh dikatakan tidak fahaman atau firqah sesat dan menyeleweng, kecuali akan dibantah oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sama ada dengan lisannya atau tulisannya.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah mengarang kitab Minhaj as-Sunnah dalam rangka menjawab bermacam penyelewengan puak Syiah dan segala bentuk kesesatan yang berlaku di kalangan mereka. Akhirnya Syiah menuduh Syeikhul Islam seorang yang anti ahli bait (nasibi) [Ruj. 4, hlm. 8].
Dan antara karya-karya beliau yang penting dalam mendedahkan penyelewengan golongan sesat dan menyeleweng adalah [Ruj. 10, hlm. 99-100]:
(1) Fatwa al-Hamawiyah: Khusus menjelaskan prinsip Salaf dalam Tauhid al-Asma' wa al-Sifat dan menjawab syubhat-syubhat ahli kalam.
(2) al-Aqidah al-Wasithiyah: Kitab kecil yang mentaqrirkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
(3) al-Radd 'alal Bakri: Membantah al-Bakri dalam masalah Istighasah dengan Nabi Saw.
(4) Dar'u Ta'arud al-Aql wa al-Naql: Menjawab dan merungkai al-Qanun al-Kulli di sisi ahli kalam.
(5) Bayan Talbis al-Jahmiyyah: Kitab khusus menjawab kitab Asas al-Taqdis oleh Fakhr al-Razi (ulama Asya'irah).
(6) as-Sufadiyyah: Menjawab syubhat ahli falsafah berkenaan masalah Nubuwwat dan Mukjizat.
(7) al-Furqan Bainal Haq wal Batil: Merungkai masalah iman dan menjawab kelompok Murjiah.
(8) al-Furqan baina Auliya'ir Rahman wa Auliya'isy Syaithan: Khusus menjawab golongan Sufi Falsafi.
(9) al-Tis'iniyyah: Menjawab al-Asya'irah terutama dalam isu sifat Kalam Allah.
(10) ar-Radd 'ala al-Syazili: Membantah Abul Hasan al-Syazili dan Hizibnya.
(11) Bughyatul Murtaad fir Raddi 'alal Mutafalsifah wal Qaramitah wal Batiniah: Membantah ahli falsafah, Qaramitah dan Batiniah.
(12) Minhaj as-Sunnah al-Nabawiyah fi Naqdhi Kalam al-Syiah wal Qadariyah: Menjawab kitab ulama Syiah; Minhajul Karamah oleh Ibn Tahir al-Hulli. (Adapun syubhat-syubhat Syiah yang ada hari ini kebanyakannya diambil dari kitab Ibn Tahir al-Hulli ini).
(13) ar-Radd 'alal Mantiqiyyin: Menjawab ahli mantik.
(14) al-Intisar li Ahlil Athar (Naqdhul Mantiq): Membantah ahli kalam dan ilmu mantik.
(15) al-Jawab as-Sahih li Man Baddala Din al-Masih: Bantahan ke atas agama Kristian. (Ini membuktikan bahawa Ibnu Taimiyyah juga merupakan pakar di dalam perbandingan agama).
(16) Syarh al-Aqidah al-Asfahaniyah: Syarahan dan kritikan ke atas matan akidah Asya'irah; al-Asfahaniyah.
PUJIAN ULAMA
Pujian ulama terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sangatlah banyak. Hanya beberapa pujian sahaja sudah cukup membuktikan bahawa ketokohan dan keilmuan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah diakui oleh kawan mahupun lawan.
Seperti yang disebutkan pada awal tadi, al-Qadhi Ibnu Makhluf, salah seorang seteru dan musuh ketat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang pernah menzalimi dan mengarahkan agar Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dipenjara, beliau berkata: "Semoga Allah Swt merahmati Ibnu Taimiyyah. Di saat dia berkuasa terhadap kami, dia melimpahkan kebaikan. Sedangkan kami, ketika berkuasa terhadapnya, justeru melakukan keburukan terhadapnya." [Ruj. 2, hlm. 8]
Dari kalangan ahli sufi pula, meskipun Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah banyak mengkritik ahli tasawuf dan ahli sufi yang menyeleweng, tetapi mereka tetap mengiktiraf ketokohan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Maka tidak ada nilai sedikit pun jika golongan sufi yang sombong pada hari ini tidak mengiktiraf ketokohan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.
Banyak sekali di kalangan tokoh dan pemimpin sufi yang memuji kegigihan jihad Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, seperti al-Wasiti. Syeikh Alamuddin al-Barzali al-Qasim bin Muhammad berkata: "Aku mengaguminya (Ibnu Taimiyyah) sebagai seorang pemimpin yang tidak ada duanya dan jejak langkah yang tidak dapat ditiru oleh para generasi sesudahnya. Kerana keutamaan-keutamaan Mujahiddin terdapat di dalam dirinya yang ia tunjukkan melalui kezuhudannya. Ketekunan ibadahnya, pendekatan dirinya kepada Allah, menghindarkan diri dari godaan duniawi dan menjauhkan dirinya dari kemewahan hidup." [Ruj. 12, hlm. 28]
Syeikh Kamaluddin bin Zamlakani (seorang yang pada permulaannya amat menyayangi Syeikhul Islam, kemudian beliau berubah menjadi musuh yang paling ketat kepada Ibnu Taimiyyah) pernah berkata: "Ibnu Taimiyyah adalah individu apabila ditanya tentang ilmunya kepada orang yang pernah berjumpa dengan beliau atau mendengar syarahan beliau tidak dapat menggambarkan betapa dalam dan luasnya ilmu syeikh sehingga diibaratkan, 'Beliau tidak mengetahui ilmu lain melainkan ilmu ini sahaja, orang lain juga tidak memahami sebagaimana beliau fahami." [Ruj. 5, hlm. xix]
Al-Qadhi al-Imam Ibnu Daqiq al-'Eid berkata: "Ketika saya bertemu dengan Ibnu Taimiyyah, saya melihat seorang laki-laki yang pada dirinya terkumpul semua disiplin ilmu di hadapannya. Beliau mengambil apa yang beliau inginkan dan meninggalkan apa yang beliau inginkan." (Dinukil oleh al-Allamah Shiddiq Hasan Khan dalam Abjad al-Ulum) [Ruj. 7, hlm. xv]
Ibnul Wardi berkata dalam kitab Tarikhnya: "Beliau (Ibnu Taimiyyah) lebih besar dari yang dapat disebutkan oleh orang seperti saya. Jika saya bersumpah di antara Hajarul Aswad dengan Maqam Ibrahim, maka saya akan bersumpah bahawa saya tidak pernah melihat dengan mata saya orang alim seperti beliau, bahkan beliau juga tidak pernah melihat orang yang alim seperti diri beliau." (Dinukil oleh al-Allamah Shiddiq Hasan Khan dalam Abjad al-Ulum) [Ruj. 7, hlm. xv]
Al-Hafiz al-Mizzi mengatakan: "Aku belum pernah melihat orang seperti Ibnu Taimiyyah, dan belum pernah aku lihat ada orang yang lebih berilmu terhadap kitabullah dan sunnah Rasulullah Saw serta lebih ittiba' dibandingkan beliau." [Ruj. 2, hlm. 10]
Syeikh ahli nahu, Abu Hayyan an-Nahwi, setelah bertemu dengan Ibnu Taimiyyah, berkata: "Belum pernah sepasang mata aku melihat orang seperti dia. Kemudian melalui bait-bait syairnya, beliau banyak memberikan pujian kepadanya." [Ruj. 2, hlm. 10]
Imam adz-Dzahabi juga berkata: "Dia adalah lambang kecerdasan dan kecepatan memahami, paling hebat pemahamannya terhadap al-Kitab dan as-Sunnah dan perbezaan pendapat dan lautan dalil naqli. Pada zamannya, beliau adalah satu-satunya baik dalam hal ilmu, zuhud, keberanian, kemurahan, amar makruf, nahi munkar, dan banyaknya buku-buku yang disusun dan amat menguasai hadis." [Ruj. 2, hlm. 11]
Al-Allamah al-Syeikh al-Karamy al-Hanbali dalam kitabnya al-Kawakib ad-Darary yang disusun mengenai manaqib (pujian terhadap jasa-jasa) Ibnu Taimiyyah, berkata: "Ramai sekali imam-imam Islam yang memberikan pujian kepada Ibnu Taimiyyah. Di antaranya: al-Hafiz al-Mizzi, Ibnu Daqiq al-Ied, Abu Hayyan an-Nahwy, al-Hafiz Ibnu Sayyid an-Nas, al-Hafiz az-Zamlakani, al-Hafiz adz-Dzahabi dan para imam ulama lain." [Ruj. 2, hlm. 10]
Al-Qadi Ibnu al-Hariry mengatakan: "Kalau Ibnu Taimiyyah bukan Syeikhul Islam, siapa lagi yang layak dikatakan Syeikhul Islam?" [Ruj. 2, hlm. 10]
TUDUHAN DAN FITNAH
Berkenaan tuduhan dan fitnah terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah hanya akan disentuh secara umum disebabkan tuduhan dan fitnah terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sangatlah banyak, terutamanya datang dari puak al-Ahbash. Kerana tidak ada manusia yang mengajak kepada tauhid yang murni dan memerangi kemungkaran melainkan akan dia dimusuhi.
Adapun kisah taubatnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah tidak sahih dan tidak benar sama sekali. Kerana kisah ini tidak pernah disebutkan oleh mana-mana murid-murid yang rapat dengan beliau. Padahal murid-murid beliau adalah merupakan ahli sejarah Islam yang ulung seperti Imam Ibnu Katsir dan Imam adz-Dzahabi. Dan kisah ini tidak juga diceritakan oleh Ibnul Qayyim, murid yang bersama-sama didalam penjara dihujung hayat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.
Tidak ada ulama yang menulis tentang biografi Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang menceritakan tentang kisah taubatnya ini, kecuali Imam Ibnu Hajar, dan riwayat itu syaz (ganjil). Kerana diantara kitab terakhir yang dikarang oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah Dar'u Ta'arud al-Aql wa al-Naql dalam rangka membantah kitab al-Qanun al-Kulli oleh Imam ar-Razi yang merupakan seorang ulama Asya'irah, yang dikarang oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pada selepas tarikh yang didakwa bahawa beliau bertaubat daripada akidahnya dan kembali kepada akidah Asya'irah. Adakah di dalam kitabnya itu beliau mengiqrarkan akidah Asya'irah?

Kita juga tidak setuju jika ada yang mengatakan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tidak diterima atau ditolak oleh majoriti ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah diterima oleh ahli sunnah mahupun ahli bid'ah kecuali ahli bid'ah yang jahil pada hari ini sahaja yang menolak Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.
Telah diketahui bahawa Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahab banyak mengambil manhajnya dari Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Ini kerana Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah seorang ulama yang terkemuka, tokoh al-Hanabilah, Mujtahid Mazhab Hanbali, dan tokoh yang terkedepan dalam memperjuangkan Manhaj Salaf pada zamannya.
Oleh kerana Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah diterima oleh ahli sunnah mahupun ahli bid'ah, justeru Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab menggunakan kitab-kitab karangan Ibnu Taimiyyah sebagai senjata utama (termasuk; al-Quran dan as-Sunnah) untuk memerangi musuh-musuh dari kalangan ahli bid'ah dan bukannya kitab-kitab karangan tokoh lain kerana Ibnu Taimiyyah diterima oleh kawan mahupun lawan pada zaman dan tempat tersebut kecuali ahli bid'ah jahil yang datang pada hari ini sahaja yang menolak dan memusuhi malah memfitnah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Jikalaulah Ibnu Taimiyyah tidak diterima oleh orang-orang pada ketika itu sudah tentulah Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahab tidak akan menjadikan kitab-kitab karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagai senjata dan hujah untuk memerangi musuh-musuh dari kalangan ahli bid'ah. Ini membuktikan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah tokoh yang menjadi hujjah di dalam mazhab Hanbali sepertimana Imam an-Nawawi menjadi hujjah di dalam mazhab Syafie.
Adapun tuduhan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mendakwa bahawa: "Allah turun (ke langit dunia sepertiga malam) seperti turunnya aku (Ibnu Taimiyyah) daripada mimbar", kemudian beliau turun satu tangga daripada mimbar tersebut. Maka tuduhan ini juga adalah dusta. Tuduhan ini datang dari Rihlah Ibnu Battutah. Terlebih dahulu perlu diketahui bahawa Ibnu Battutah bukanlah seorang ulama, beliau hanya dikenal sebagai seorang pengembara.
Tuduhan ini antara tuduhan yang kerap kali dikaitkan dengan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Tetapi Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berlepas diri daripada tuduhan jahat ini. Kerana ketika tarikh peristiwa tersebut dicatatkan oleh Rihlah Ibnu Battutah, sewaktu itu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sedang berada di dalam penjara.
Dalam hal ini cuma tinggal dua kemungkinan, sama ada Ibnu Battutah telah berbohong tanpa sengaja ataupun (Ibnu Juzzi al-Kalbi) penyalin dan pengumpul kitab Rihlah Ibnu Battutah itu yang telah berdusta. Yang pastinya Ibnu Battutah tidak mendengar dan melihat secara langsung kisah ini dari Ibnu Taimiyyah sendiri, tetapi hanya mengambil matlumat dari perlabuhan. Buktinya, Ibnu Battutah mencatatkan di dalam Rihlah-nya bahawa beliau sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadan tahun 726 H. Sedangkan Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan pada bulan Sya'ban tahun tersebut, dan terus berada di dalam penjara sehingga wafat malam Isnin 20 Zulkaedah 728 H.
[Ruj: 20160927-SS Dato Dr Asri-DBPI Ibnu Taimiyah_Perjuangan & Pemikirannya Memurnikan Islam]
Antara tuduhan yang datang dari puak al-Ahbash juga adalah dakwaan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa "Allah mendudukkan Nabi Muhammad di atas Arasy", tuduhan ini juga tidak benar, kerana ini bukanlah kenyataan atau pandangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tetapi beliau hanya menukilkan pendapat dari ulama-ulama yang sebelumnya. Jika diandaikan benar ini merupakan pandangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, ia sebenarnya tidak lebih daripada persoalan yang juga pernah dibicarakan oleh segolongan tokoh Salaf seperti Mujahid dan lain-lain sebelum beliau lagi. [Ruj. 2, hlm.236]
Antara tuduhan yang sering dilemparkan terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sehingga ke hari ini adalah tuduhan bahawa beliau menjisimkan Allah Swt. Tuduhan ini juga tidak benar. Hal ini diakui sendiri oleh ulama besar Asya'irah pada zaman ini, iaitu Syeikh Sa'id Ramadhan al-Buti.
Al-Syeikh Sa'id Ramadhan al-Buti (ulama besar Asya'irah zaman ini) menjelaskan: "Kita rasa pelik apabila mendapati golongan yang lampau telah mengkafirkan Ibnu Taimiyah dan menuduh beliau mentajsidkan (menjasadkan) Allah Swt. Saya sendiri telah mengkaji dalam tempoh yang begitu lama bagi mencari idea dan perkataan yang pernah ditulis atau dikatakan oleh as-Subki atau lain-lain, namun saya tidak menemui ungkapan mahupun tulisan tentang perkara tersebut. Sebaliknya yang saya temui dalam fatwa beliau ialah, 'Sesungguhnya Allah itu mempunyai tangan sebagaimana yang Dia nyatakan, Beristiwa di atas Arasy sebagaimana yang Dia nyatakan dan mempunyai mata sebagaimana yang Dia nyatakan.'"
Al-Syeikh Sa'id Ramadhan al-Buti menambah lagi: "Saya juga telah merujuk kepada karya terakhir yang ditulis oleh Abu al-Hasan al-Asy'ari (iaitu al-Ibanah) dan saya dapati ia juga mengandungi kata-kata yang diucapkan oleh Ibnu Taimiyah iaitu, 'Kami beriman yang Allah Swt itu mempunyai tangan sebagaimana yang dinyatakan oleh-Nya. Dia beristiwa di atas Arasy sebagaimana yang Dia nyatakan. 'Jika begitulah kedudukannya, kenapa kita berusaha membesarkan kesamaran yang tidak wujud di alam nyata? Kenapa kita berusaha meniupkan api persengketaan dan perpecahan? Allah Swt akan pasti menghisap kita di atas perkara tersebut."
[Nadwah al-Fikr al-Islami al-Mua'sir, hlm. 264 dan 265. Kumpulan Kuliah yang disampaikan di Bahrain pada 25 hb Februari 1985]
[Ruj. 2, hlm. 149-150]
Kepada para pencela Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, semoga Allah merahmati asy-Syaikh al-Jalil Ahmad Waliyullah ad-Dahlawi ketika mengatakan: "Orang seperti Syeikh ini (Ibnu Taimiyyah) jarang ada di dunia, dan siapakah yang mampu mencapai kedudukannya, dalam hal tulisan dan ketetapannya? Sementara orang-orang yang mencelanya sama sekali tidak mencapai sepersepuluh sesuatu yang telah diberikan Allah Swt kepadanya." [Ruj. 11, hlm. 878]
KEWAFATAN
Beliau berada di dalam penjara yang berakhir dengan kematiannya selama dua tahun tiga bulan dan beberapa hari. Di situ beliau mengalami sakit selama lebih dari dua puluh hari. Selama dalam penjara beliau selalu beribadah, berzikir, tahajud dan membaca al-Quran. Setiap hari beliau membaca tiga juzuk al-Quran. Selama di dalam penjara juga, beliau sempat mengkhatam al-Quran sebanyak 80 kali [Ruj. 2, hlm. 14]
Saat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah berusia 67 tahun dan telah merengkuk dalam penjara yang terakhir itu selama lebih dari 20 bulan lamanya dan ketika itu sakit beliau semakin bertambah. Orang ramai tidak mengetahui bahawa beliau dalam keadaan sakit kerana yang mengurusi diri beliau hanyalah Ibnu Qayyim al-Jauziyah, muridnya yang setia. Baru suara muadzin (masjid Qal'ah) berseru dari atas menara bahawa beliau telah pulang ke rahmatullah, berduyun-duyun orang mengerumuni gerbang penjara [Ruj. 3, hlm. 72].
Pada hari kematiannya, semua pasar dan kedai yang kebiasaannya beroperasi pada pagi hari itu ditutup. Semua lapisan masyarakat berkumpul, ada dalam kalangan mereka memuji dan mengingati jasa-jasa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, ada yang menangis serta menyesal di atas apa yang pernah terjadi ke atas diri Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah [Ruj. 5, hlm. xxi].
Ramai orang yang terisak dan menagis, dan meratapi kematian beliau. Juga ramai orang yang ingin mengambil berkah walau dengan hanya melihat beliau, memegang keranda jenazah beliau dan bahkan ada yang mencium beliau. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 H (26-28 september 1328 M) dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih daripada 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca al-Quran (untuk kali yang ke-81).
Walaupun beliau seorang yang banyak dibenci terutama oleh mereka yang bermazhab Syafie tetapi jenazah beliau diiringi ke pusara oleh 200, 000 orang lelaki dan 15, 000 orang wanita. Demikianlah akibat yang dialami oleh beliau dalam memperjuangkan kebenaran demi tegaknya agama Islam di atas muka bumi.
[Ruj. 3, hlm. 73].
Seorang saksi pernah berkata: "Menurut yang aku ketahui, tidak ada seorang pun yang ketinggalan kecuali tiga orang musuh utamanya. Ketiga-tiga orang ini menyembunyikan diri kerana takut dipukul orang ramai. Bahkan menurut ahli sejarah, belum pernah terjadi jenazah yang disolatkan serta dihormati oleh orang seramai itu melainkan Ibnu Taimiyyah dan Imam Ahmad ibn Hanbal [Ruj. 2, hlm. 14-15].
Benarlah apa yang dikatakan oleh Imam Ahmad ibn Hanbal: "Katakanlah kepada ahlul bid'ah, perjanjian antara kami dan kalian adalah hari jenazah." [Ruj. 1, hlm. 22].
Jenazah beliau dimakamkan di perkuburan al-Sufiyyah berdampingan dengan makam saudaranya, Syarafuddin Abdullah. Kini, perkuburan ini terletak di dalam kawasan kampus Universiti Damsyik, Syria [Ruj. 1, hlm. 22].
Meskipun Ibnu Taimiyyah seorang tokoh ulama yang hebat dan jarang wujud pada zamannya tokoh seperti beliau, namun beliau tetap merupakan seorang manusia dan bukannya malaikat. Beliau tidak sunyi daripada salah dan silap. Meskipun begitu kesilapannya tidak ubah bagaikan sedikit kotoran yang dititiskan ke dalam lautan yang luas yang sama sekali tidak menjejaskan air laut yang luas. Bahkan kotoran tersebut tidak timbul langsung apabila dilihat dengan keluasan air laut tersebut. Malah beliau sendiri tidak pernah mendakwa dirinya adalah maksum.
Muridnya, al-Hafiz adz-Dzahabi menjelaskan:
"Saya tidak pernah mengiktiqadkan beliau (Ibnu Taimiyyah) seorang yang maksum, bahkan saya sendiri menyelisihi beliau dalam beberapa masalah asas dan cabang. Namun beliau (Ibnu Taimiyyah) tetap merupakan lautan yang tidak bertepi dan khazanah yang tidak ada tolok bandingnya. Namun setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan sahaja kata-katanya kecuali Rasulullah Saw sahaja."
(Ad-Durar al-Kaminah, jld. 1, hlm. 161)
[Ruj. 2, hlm. 15]
Rujukan (Ruj):
[1] Ibnu Taimiyyah Perjuangan & Pemikirannya Memurnikan Islam, 2016. Terbitan: DBP.
[2] Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah Sesat?, Syeikh Abd Rahman Dimasyqiyyah, 2015. Terbitan: al-Hidayah.
[3] Ibn Taimiyyah: Pencetus Akidah Tasybih & Tajsim?, Mohd Hairi Nonchi, 2011. Terbitan: Jahabersa.
[4] 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Syaikh Murad Syukri, 2008. Terbitan: Jahabersa.
[5] Menolak Celaan Terhadap Ulama (judul asal: Raf ul Malam 'An al-A'imah al-A'lam), Ibnu Taimiyyah, 2016. Terbitan: Kemilau Publika.
[6] Wali Allah Ataukah Wali Syaitan? (judul asal; al-Furqan baina Auliya'ir Rahman wa Auliya'isy Syaithan), Ibnu Taimiyyah, 2015. Terbitan: Pustaka Imam Asy-Syafi'i.
[7] Syarah Aqidah Wasithiyah, Ibnu Taimiyyah, 2018. Terbitan: Darul Haq.
[8] Yang Sahih Dan Yang Tersasar Di Kalangan Ahli Tarekat Dan Kaum Sufi Menurut Imam Ahmad Ibn Taimiyyah (1263-1328 Masihi) Satu Penelitian Akademik, Dr. Rushdi Ramli, 2005. Terbitan: Muassasah al-Baian.
[9] Siapa Ahli Sunnah Wal-Jamaah? Berlakunya Fahaman Sesat Dan Penyelewengan Dalam Islam, Umar Hasyim, 2015. Terbitan: Al-Hidayah Publication.
[10] Evolusi Gerakan Penyelewengan Dalam Islam, Muhammad Asrie Sobri, 2018. Terbitan: Karya PiS Sdn Bhd.
[11] Biografi 60 Ulama AhlusSunnah (judul asal; Min A'lam as-Salaf), Syaikh Ahmad Farid, 2014. Terbitan: Darul Haq.
[12] Tasauf Menurut Ibnu Taimiyah, Dr. Thiblawy Mahmoud Saad, 2004. Terbitan: Darul Nu'man.

Langgan:
Catatan (Atom)