Isnin, 14 Ogos 2023

SEJARAH PENGAKAP NEGERI PERAK


Malay College, Kuala Kangsar dan St. George's Institution, Taiping merupakan institusi pengajian yang pertama menubuhkan Pergerakan Pengakap di Negeri Perak.


Negeri Perak adalah negeri ke lima mewujudkan Pengakap selepas Pulau Pinang dalam tahun 1908, Selangor 1910, Pahang 1912, Sabah 1913 dan Sarawak dalam tahun 1913, 


Kumpulan Pengakap di Malay College, Kuala Kangsar ditubuhkan dalam tahun 1920 oleh Tengku Ahmad, Tengku Panglima Raja Kelantan dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia.


Kumpulan ini diwujudkan di bawah kawalan Ibu Pejabat Persekutuan, di Kuala Lumpur.


Manakala Kumpulan Pengakap yang pertama di Negeri Perak telah diwujudkan di St. George's Institution, Taiping, dalam tahun 1921. 


Kumpulan ini di bawah kendalian Pesuruhjaya Negeri Perak. Pada masa itu Taiping adalah ibu negeri Perak sebelum berpindah ke Ipoh dalam tahun 1940.


Dikenali sebagai 1st.  Taiping Troop di St. George's Institution, Kumpulan ini telah menjadi model kepada penubuhan kumpulan Pengakap di sekitar kawasan itu. Kumpulan ini telah dikendalikan oleh pemimpinnya R. C. Augustin.


Kemudian  wujudnya 2nd Taiping Troop, di Sekolah King Edward VII, dan ia dipimpin oleh D.G. Doral, dan dikuti oleh 3rd Taiping dari SMKKE, 4th Taiping dari  SK Taiping, 5th Taiping dari SGI. Manakala  7th, 8th dan 9th Taiping dari SMKKE.


Sementara itu dalam tahun 1923 dua Pasukan Pengakap telah ditubuhkan di Sekolah Anglo Chinese, Ipoh. Kumpulan-kumpulan itu adalah  1 st dan 2nd Ipoh Troops yang dipimpin oleh Tuan Haji Abdullah bin Haji Mohd Salleh. 


Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak yang pertama adalah  L. R. Wheeler, dan beliau adalah tenaga pengajar di Malay College, Kuala Kangsar.


Pada peringkat awal tahun 1920an, Pengakap di Negeri Perak, bernasib baik kerana mendapat latihan daripada Tuan H. R. Hertslet. Beliau merupakan seorang Pemimpin Pengakap yang berpengalaman dalam bidang pergerakan Pengakap, 


Menghargai perkhidmatan dan jasa Tuan H. R. Hertslet kepada Pergerakan Pengakap di negeri Perak, sebuah tapak Perkhemahan Pengakap di Ipoh dengan nama beliau iaitu  Kem Hertslet di Jalan Tiger Lane, Ipoh. 


Kem ini berhampiran dengan Sekolah Menengah Star Ipoh  dan ia merupakan kem Pengakap yang terkenal dan telah banyak melatih ahli dan Pemimpin Pengakap Negeri Perak.


Pada pertengahan tahun 1920an Kumpulan-kumpulan Pengakap telah ditubuhkan di kesemua Sekolah-sekolah Inggeris serta di kebanyakan Sekolah Kebangsaan, di negeri Perak.


Tuan Haji Abdullah bin Haji Mohd Salleh telah dilantik sebagai Pemimpin Daerah dan beliau telah diberi tugas khas menolong memajukan Pasukan Pengakap di sekolah-sekolah Kebangsaan di seluruh Negeri Perak


Ketika itu kebanyakan Kursus Latihan Permulaan bagi Pemimpin-pemimpin Pengakap telah di-adakan dikawasan rumah Marcus Dukes, yang terletak di tepi tebing Sungei Timah yang  tidak berapa jauh dari Teluk Anson kini Teluk Intan.

 

Perhimpunan Pengakap yang terawal sekali telah diadakan dalam tahun 1924 dalam satu kawasan luas  di bangalow Eu Tong Seng di Jalan Gopeng Ipoh.


Dalam perhimpunan ini, kumpulan Pengakap dari Taiping telah mempamerkan cara-cara menyelamatkan nyawa dalam kolam renang, manakala 2nd Ipoh Troops telah mendapat hadiah daripada British Resident Negeri Perak kerana pertunjukan kemahiran mereka dalam merawat pesakit.


Dalam tahun 1930 Perkhemahan Pengakap telah diadakan semasa cuti sekolah. Perkhemahan ini diadakan di tempat H. R. Hertslet, iaitu di Ladang Changkat Asa, Tanjong Malim, Perak. Ia telah dihadiri oleh lebih 300 ahli Pengakap dari seluruh negara, termasuk dari Raub, Kuantan dan Johor.


Ketua Pesuruhjaya Pengakap, yang tinggal di Singapura pada masa itu  F. C Sands,  kerap datang melawat Pasukan Pengakap di Negeri Perak.


Oleh itu beberapa perhimpunan Pengakap telah diadakan di beberapa tempat  supaya ahli Pengakap dapat bertemu dengan F. C Sands,.


Satu Perhimpunan Pengakap peringkat Negeri Perak, telah diadakan secara besar-besaran di Maktab Latihan Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, dalam tahun 1932.


Perhimpunan yang berlangsung beberapa hari itu, telah dihadhiri oleh hampir semua ahli Pengakap Negeri Perak.


Negeri Perak antara negeri yang bertuah apabila Pengasas  Pergerakan Pengakap,  Lord   Baden-Powell of Gilwell bersama Lady Baden-Powell telah berkunjung ke negeri ini dalam lawatannya ke Tanah Melayu.

   

Kunjungan mereka dalam tahun 1934 ke Negeri Perak adalah bagi meninjau dan melihat sendiri pergerakan Pengakap yang telah diasaskanya.


Satu Perkumpulan Pengakap telah diadakan di Padang Polo Kuala Kangsar. Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah telah berkenan menitahkan supaya Padang

Polo itu dijadikan tapak Perkumpulan Pengakap.


R. E. telah menggantikan L. R. Wheeler selaku Pesurohjaya Negeri Perak, dan kemudian E. C. Hicks pula menjadi Pesuruhjaya Negeri. 


Semasa pemerintahan Jepun, Pergerakan Pengakap telah terhenti hinggalah kembalinya E. C. Hicks ke Ipoh dalam bulan Disember, 1945, semasa itu beliau merupakan seorang Lt. Col. dalam tentera.


Selepas perang, Mesyuarat Agong Tahunan Persekutuan Budak-budak Pengakap Negeri Perak yang pertama telah diadakan di Ipoh pada 2 Mach, 1946. 


Dalam mesyuarat ini Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, H. R. Hertslet, telah menyampaikan tauliah-tauliah kepada Penolong Pesuruhjaya Daerah antaranya adalah Chong Wan Fook, D. G. Doral, Mangal Singh dan Haji  Abdullah.


Dalam masa sama semua tapak perkhemahan Pengakap Negeri Perak dipulihkan semula dan Kursus Latihan yang pertama lepas perang telah diadakan di Ipoh dalam bulan April, 1946.


Dalam tahun 1950 Chong Wan Fook telah dilantik menjadi Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak. Apabila beliau meninggal dunia, ia digantikan oleh Chung Shin Yee. Ibrahim bin Abdul Samad menggantikannya   apabila Chung Shin Yee pergi berkursus  di Kuala Lumpur.


Kem Maju yang merupakan tapak perkhemahan Pengakap yang indah, terletak di dalam kawasan Taman Tasek Taiping. Wujudnya Kem ini adalah hasil keputusan untuk mengadakan Perkhemahan Patrol seluruh Malaysia di Taiping dalam tahun 1967.


Pada akhir tahun 1968, Bangunan Ibu Pejabat Pengakap Negeri Perak di Jalan Hospital, Ipoh mula dibina, dan pada bulan Julai 1969, Yang Berhormat Tan Sri Haji Sardon bin Haji Jubir, Ketua Pengakap Negara Malaysia, menyempurnakan upacara meletakkan batu asas Bangunan tersebut.


Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Negeri Perak disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 3 Februari 1971.

Berdasarkan sejarah Pergerakan Pengakap di Negeri Perak yang bermula dari Malay College, Kuala Kangsar pada tahun 1920 dan St. George's Institution, Taiping pada tahun 1921, Pengakap Negeri Perak telah menjangkau usia hampir 100 tahun pada 2020 dan 2021.


Dalam masa sama Bangunan Ibu Pejabat Pengakap Negeri Perak sudah berkhidmat hampir 50 tahun. Ia juga akan menyambut Jubli Emas dalam tahun 2021.

Credit FB Adnan Hudson

Tiada ulasan:

Halaman