Rabu, 7 Julai 2010

AL-GHURABA' (GOLONGAN YANG ASING DAN GANJIL)

Assalamualaikum Warohmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

Abu Hurairah Radiallahu 'Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka beruntunglah orang-orang yang ganjil" (Hadith Muslim)

Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairanan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan,ditertawakan,dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila dan seribu satu fitnah dan kecaman yang terakam di lembaran sirah Nabi Muhammad s.a.w. Masakan tidak, Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia.Biarpun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak yang menukar manusia menjadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik dianggap pelik dan menyusahkan. Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jualbeli yang bersih lagi adil dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan.Walaupun perhambaan, perzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa berbanding mengusahakan perubahan, biarpun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut. Itulah nasib Islam di awal zamannya.

Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan dan keganjilan ini tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada baginda Nabi s.a.w dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka mereka salah. Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai. itu sahaja. Mereka mengajak kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup. Mereka inilah Ghuraba'(orang2 yang ganjil) pada hadis di atas. Bila ditanya kepada baginda, siapakah orang2 yang ganjil itu. baginda menjawab "iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak'.Dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab,"iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia". pada satu riwayat yang lain baginda menjawab," mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutinya".

Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender dan kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua ini kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah dan takutkan azabnya, berasa terasing, dipulaukan,disindir dan diketawakan. Pernahkah anda berasa seperti itu?
Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biarpun mentari senja hampir tenggelam, anda yang memilih untuk solat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai!
Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biarpun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri dan kehormatan daripada zina kerana kebaikan menjauhinya dan besarnya menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?
Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah yang syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup sedemikian rupa?

Tatakala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai bencmark- aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan maruah dan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?
Jika anda berasa asing, ganjil,pelik,ditertawa,disinis,disindir atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w
"BERUNTUNGLAH AL-GHURABA' IAITU MEREKA YANG ASING DAN GANJIL"
Satu masa ketika Amirul Mukminin Saidina Umar Radiallahu 'Anhu mendengar seorang lelaki Badwi Arab yang baru memeluk Islam khusyuk dan sedang berdoa di sisi Multazam (antara tempat dimakbulkan doa di sisi Kaabah), "Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan yang sedikit", Saidina Umar bertanya dengan penuh kehairanan, wahai Tuan, mengapa tuan berdoa dengan demikian, orang lain minta yang banyak dalam serba-serbi kehidupannya,tetapi tuan minta yang sedikit?, Lalu dijawab oleh lelaki berkenaan, lupakah tuan kepada sepotong ayat Al-Quran, (Wa Qoliilun Min 'Ibadias Syakur)-Sesungguhnya sedikit sahaja dari manusia itu yang bersyukur kepada Allah", jawapan ini membuatkan mengalir air mata keinsafan dari Saidina Umar.

Disediakan oleh:
Ust. Jamali bin Mohd Adnan
Ketua Unit Agama IPPM

1 ulasan:

Ra1m1 berkata...

Hebat artikel ini. HEBAT! seringkali aku terfikir pekara ni. Rupanya telah dinyatakan oleh nabi. Telah dilalui oleh nabi..

Halaman