Satu masa seorang sahabat mengadu kepada Abdullah bin Mas'ud (Ibn Mas'ud)- salah seorang sahabat yang pakar dalam bidang Tafsir Al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w selain dari Abdullah bin 'Abbas dan 'Ikrimah bin Abu Jahal. Lelaki ini mengadu tentang dirinya yang tidak tenang, resah gelisah dan berkeadaan jiwa yang tidak tenteram.
Kata Ibn Mas'ud lakukanlah 3 perkara berikut nescaya jiwa kamu tenang dan hati kamu tenteram:-
1. Bacalah Al-Quran
2. Hadirlah ke majlis ilmu
3. Bangunlah bermunajat di sepertiga malam memohon keampunan atas dosa yang kamu lakukan
Al-Quran adalah mukjizat ma'nawi dari Allah kepada Nabi s.a.w yang tetap kekal kesuciannya sehingga hari Qiamat. Membaca, mendengar, memahami makna dan isi kandungannya, mentadabburkannya dan melaksanakan Hukumnya adalah antara adab kita dengan Al-Quran menurut Imam As-Syafie. Sesungguhnya dengan membaca Al-Quran jiwa kita akan merasa tenang. Benarlah sebagaimana disebut dalam Al-Quran
" Orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementarlah hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran bertambah keimanannya".
Suraqah bin Malik adalah seorang pemuda Quraisy yang gagah perkasa dan mempunyai kekuatan dan keberanian luarbiasa. Pembesar Mekah telah menawarkan ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menangkap hidup atau mati Muhammad- dalam peristiwa Hijrah. Satu hari Suraqah berjaya mengekori Nabi s.a.w bersama Saidina Abu Bakar dan dengan sombongnya Suraqah mencabar Nabi. "Wahai Muhammad siapakah yang dapat menolong kamu sekarang dengan duduk di atas kuda dan menghunus pedang pada Nabi. Beliau mengira Nabi pasti akan menyerah kalah apalagi nabi tidak bersenjata. "ALLAHHH pasti menolong aku",tiba-tiba dengan tenang dan yakin Nabi s.a.w menghamburkan kalimah itu kepada Suraqah yg tiba-tiba kudanya terjerlus ke pasir dan pedangnya terjatuh.. setiap kali dia bangun kakinyanya pula terjerlus ke pasir tersebut, Nabi mengambil pedang tersebut dan berkata kepada Suraqah, sekarang siapa pula yang dapat menolong kamu wahai Suraqah? Dalam keadaan badan menggigil ketakutan Suraqah hanya mampu menjawab, "Hanya belas kasihan darimu wahai Muhammad yang dapat menyelamatkan aku". Nabi memaafkan Suraqah dan melepaskannya dengan satu pesanan sesungguhnya kamu akan dipakaikan dengan mahkota Qaisar Romawi suatu masa nanti. Dan ini terbukti di zaman Khalifah Islam Ke-2, Umar Al-Khattab ketika 2 kuasa besar dunia Parsi dan Romawi tumbang di tangan umat Islam, dengan tawadhuk Saidina Umar memakaikan mahkota berkenaan kepada Suraqah sebagaimana dijanjikan Nabi
Hari di mana Umar al-Khattab seorang pemuda Mekah yang amat memusuhi Nabi dan umat Islam, membunuh Nabi s.a.w hari tersebutlah Allah kurniakan hidayah sehingga beliau memeluk Islam berkat mendengar ayat-ayat al-Quran dari Surah Taaha yang dibacakan adik perempuannya. Walaupun hatinya keras seumpama batu akhirnya lembut dan redha menerima Islam. Benarlah firman Allah:-
" Kalaulah Kami (Allah) turunkan Al-Quran ini kepada bukit-bukau dan gunung-ganang nescaya kamu akan melihat ia akan hancur bercerai kerana takut kepada Allah...."
Keluarga, rumah, pejabat, kereta yang dibacakan Al-Quran didalamnya sudah pasti Allah melimpahi keberkatan dan menjadikan ketenangan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Ketenangan inilah yang akhirnya refleks kepada seluruh kehidupan kita, seorang pekerja yang tenang ia akan bekerja dengan penuh komitmen, jujur dan amanah, menjadikan kerja sebagai ibadah, menjauhi rasuah dan salahguna kuasa tetapi pekerja yang tidak wujud ketenangan pada dirinya ia bekerja semata-mata kerana gaji, curi tulang, bekerja sambil lewa dsb. Seorang pemimpin yang tenang ia akan berkhidmat untuk rakyatnya dengan amanah dan kejujuran, kepentingan rakyat diutamakan dari kepentingan sendiri, seorang suami dan bapa yang tenang, ia akan berusaha mendidik keluarganya berdasarkan nilai agama bukan sekadar menyediakan keperluan fizikal, makan minum semata-mata kerana ia sedar Allah akan mengazab suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab, Dan begitulah seterusnya.......
dalam culture masyarakat melayu hari ini Al-Quran menjadi salah satu barang hantaran perkahwinan. Maknanya Al-Quran itu jika sekiranya dibaca, difahami dan diamalkan akan wujudlah keberkatan dan kebahagiaan pada keluarga tersebut..malangnya Al-Quran hanya jadi barang perhiasan yang dibungkus cantik dalam kotak kayu yang mahal disimpan dalam almari tanpa dibaca. Akhirnya Al-Quran melaknat kita balik, suami isteri bergaduh, bercerai berai, anak lari dari rumah, suami lepak di kedai mamak sampai tengah malam...
Dr. Po Dharma seorang pembentang kertas kerja di satu seminar Melayu Campa di Arkib Negara yang saya sertai beberapa tahun lalu, mendedahkan Al-Quran pada masyarakat Melayu Campa di Cambodia sebahagiannya tidak lagi dibaca tetapi dibungkus dengan kain kuning diletakkan di atas tempat yang tinggi dan setiap tahun diadakan upacara menyembah dan memuja Al-Quran. Mohon Allah hindarkan kita dari bencana tersebut. Marilah kita membaca Al-Quran. Timbulkan rasa bersalah (sense of guilty) setiap hari kita boleh membaca akhbar, majalah kulit ke kulit tetapi mengapa kita masih berat untuk menatap dan membaca Al-Quran...
Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan dari sebanyak 6666 @6236 ayat tidak menyuruh kita mendirikan solat @ berjihad mengangkat senjata tetapi dimulai dengan Iqrak menggalakkan kita cerdik dan berilmu. Maknanya solat yang dilakukan tanpa ilmu sekadar ikut-ikutan dan jihad mengangkat senjata dengan membunuh orang tidak berdosa sudah pasti akan ditolak oleh Allah SWT. Oleh itu hadir majlis ilmu adalah satu jalan bagi kita meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah. Sebab itu Nabi dalam satu sabdanya menyebut bahawa Malaikat akan memohon rahmat dan keberkatan, memohon keampunan bagi mereka yang berada di majlis ilmu. Malah Nabi s.a.w menyatakan melalui satu jalan untuk menuntut ilmu akan memudahkan untuk dirinya dimasukkan ke dalam syurga. Oleh itu lapangkanlah masa kita, heretlah kaki kita, paksalah mata kita untuk menghadiri majlis ilmu yang sudah pasti akan memberi ketenteraman kepada jiwa kita. Sesungguhnya satu saat berada dalam majlis ilmu tidak sama dengan solat sunat 1000 rakaat.
Mengapa hati kita tidak tenang, kerana hati kita kotor, kenapa hati kita kotor kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan. Cuba kita flashback balik 5 @10 @15 tahun yang lepas banyak dan besarnya dosa kita kepada Allah, kepada Nabi kepada suami, isteri,ibu,bapa dan anak kita..dosa kita tinggalkan solat, dosa kita dedahkan aurat, menipu, mencuri, berzina dlll. kesemua dosa ini menyebabkan hati kita resah gelisah dan hati kita tidak tenang..Bangunlah sepertiga malam bertahajjud dan bermunajat kepada Allah, menangislah di hadapan Allah moga-moga dengan itu kita digolongkan dari kalangan hamba yang diterima taubatnya dan diampunkan dosanya..
Akhirnya Sabda Nabi s.a.w: Dalam diri manusia ini ada seketul daging sekiranya ia baik maka baiklah keseluruhan anngota badan berkenaan dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh anngota berkenaan, tidak lain HATI pada manusia..jagai dan bajailah dengan ilmu, Al-Quran, sedekah moga kita sentiasa di bawah rahmatNya.........
Oleh:
Ustaz Jamali Mohd Adnan
Ketua Unit Agama
jamali@prison.gov.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan