Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, hari ini tenggelam sahaja sang suria kita akan bertemu detik 12 Rabi'ul Awwal tarikh keramat keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. walaupun Rasulullah telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun lalu, tetapi namanya sentiasa membasahi lidah di saat kita berselawat kepadanya, Sunnahnya sentiasa cuba kita amalkan di saat zaman iman senipis kulit bawang dan ajarannya sentiasa memberi kekuatan dan keyakinan untuk kita terus melangkah ke hadapan menempuhi liku-liku kehidupan penuh cabaran ini. Sebab itu kelahiran Nabi s.a.w tanggal 12 Rabi'ul Awwal bukan semata-mata kelahiran batang tubuh Muhammad bin Abdullah semata-mata lebih dari itu kelahiran Nabi membawa benda yang paling bernilai dan berharga yang amat diperlukan oleh manusia iaitu membawa ajaran Islam yang dapat menyelamatkan manusia dari terus berada dalam lingkaran Jahiliah dan kesesatan. Zaman Jahiliah sebelum kelahiran Nabi dipenuhi dengan rentetan kesesatan dan kezaliman. Kelahiran anak perempuan dianggap membawa sial dan mereka akan dibunuh hidup2, wanita yang datang haid dianggap hina dan kotor, tidak boleh memasak makanan untuk keluarga malah lebih jauh dari itu mereka diasingkan, arak menjadi budaya malah mereka minum bukan dari cawan dan piala malah lebih dari itu minum dari tengkorak2 kepala manusia yang mereka bunuh, saling berbunuhan merebut kuasa dan pengaruh, menyembah berhala yang mereka cipta malah sekeliling Kaabah pada masa itu terdapat hampir 365 berhala pelbagai nama dan bentuk dan bermacam lagi sifat2 Jahiliah....Allah Taala sayang pada hambanya. Dia tidak akan menghukum mereka dengan sebab kejahilan mereka. Lalu Allah menurunkan NabiNya Muhammad s.a.w bagi mengajak manusia kembali kepada menyembah Allah, membasmi fahaman salah mengenai wanita serta menaikkan martabat sebagai manusia di sisi Allah, benarlah sebagaimana sabda Nabi
"Sesungguhnya aku diutuskan kepada kamu untuk memperbaiki akhlak manusia".
Nabi datang tidak mengajar kita cara nak buat jalan, bangunan, parit dsb sebab semua perkara ini mampu dibuat oleh manusia dengan kurniaan akal yang hebat dari Allah. Manusia di Mesir ribuan tahun dulu mereka berjaya membina bangunan hebat mencakar langit Pyramid dan Sphinx yang kita sendiripun tak dapat bayangkan apa teknologi yang mereka gunakan sehingga dapat menyusun bongkah2 batu besar dan kukuh sehingga sekarang menjadi antara salah satu keajaiban dunia..Datangnya Nabi bagi memperbaiki akhlak dan budipekerti manusia. Manusia yang tidak berakhlak akan merosakkan bangsa dan tamadunnya. Kaum Sadum dimusnahkan oleh Allah kerana mereka menentang Nabi Lut yang mengajak kaumnya meninggalkan amalan mendatangi sesama jantina-homoseks dan lesbian. Datangnya Nabi Lut dipandang sebelah mata lalu dituduh ahli sihir, gila dsb. walaupun Nabi Lut menawarkan anak2 gadisnya yang cantik rupawan pemuda2 Sadum menolak mentah2 malah memaksa Nabi Lut menyerahkan tetamunya untuk kepuasa nafsu syahwat mereka (yang sebenarnya Malaikat yang menyerupai tiga pemuda). Allah menghancurkan negeri tersebut dengan diangkat ke langit dan dihempaskan sekuat2nya ke bumi. Malah istilah Sodomise-sodomy diambil dari sempena Negeri Sadum yang hancur kerana buruk akhlak. Negeri tersebut sudah hancur dan hilang dari sejarah tetapi kesannya masih wujud sehingga hari ini. Dead Sea (Laut Mati) di Jordan yang airnya terlalu masin sehingga kita takkan tenggelam menjadi iktibar betapa tabiat liwat ini amat dibenci Allah. Tamadun di Pompei, Itali juga musnah dan negara mereka dihancurkan oleh Allah semata2 kerana akhlak mereka yang menyeleweng. Pompei ditemui secara tidak sengaja ketika arkeologist menggali tanah mencari kesan sejarah tahun 1950-an. Jauh berpuluh meter dalam bumi mereka menemui jasad2 manusia yang bertukar menjadi batu dalam kehidupan sebuah bandar yang lengkap dengan pasar, stadium dan pelbagai kemudahan infrastruktur. Mereka rosak dan dihancurkan kerana tabiat yang sama sebagaimana kaum Sadum.
Islam datang membawa perubahan. Bilangan penganut Islam di awal boleh dibilang dengan jari terdiri dari isteri, sahabat dan kaum kerabat Nabi tak sampai 20 orang. Malah ketika Nabi berhijrah ke Madinah dan berjaya mendirikan kerajaan Islam umat Islam yang berhijrah bersama Nabi tak sampaipun 90 orang. Jumlah ini semakin berkembang dan bertambah sehinggalah ketika Nabi s.a.w mengerjakan Haji Wida'(Haji Perpisahan) tahun 8 Hijrah umat Islam berjumlah 100,000 orang. Sifat ajaran yang benar semakin lama ajarannya semakin mendapat perhatian. Selepas serangan 11 September di Washington DC yang mengorbankan 5000 nyawa tidak berdosa. A/Syarikat dan sekutunya melalui pelbagai media antarabangsa menjalankan kempen besar2an melabelkan umat Islam sebagai terorist dan menaja keganasan. Kempen Islamophobia ini kemudiannya menjadi tiket untuk mereka membunuh jutaan rakyat Iraq dan menghancurkan khazanah warisan sejarah dunia di Baghdad semata2 untuk menjatuhkan "pengganas" bernama Saddam Hussein atas nama menyekat program nuklear di Iraq. Alasan yang sama digunakan bagi menggempur habis2an bumi Afghanistan semata2 untuk memburu Osama ben Laden. 2006 setelah 5 tahun Islamophobia berlalu dibuat satu kajian di Eropah, impak kepada Islam selepas 11 Sept. Dapatan yang amat mengejutkan mendapati selepas 5 tahun 11 Sept bilangan umat Islam bertambah begitu drastik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, malah Islam semakin diterima masyarakat Barat dan ajaran ini menjadi agama kedua selepas Kristian di German, Peranchis, Belanda, United Kingdom dll. Pengkaji tersebut memberi amaran sekiranya keadaan ini berterusan 20 tahun akan datang seluruh Eropah dikhuatiri akan berubah menjadi negara umat Islam. Kajian terbaru oleh sebuah universiti ternama di A/Syarikat 2009 juga membuktikan kebenaran ini. Dari 20 orang hari ini umat Islam berjumlah 1.57 Billion. Selepas 11 Sept banyak universiti di Barat menerima kemasukan luar biasa masyarakat bukan Islam untuk mendalami Islam samada di Fakulti Pengajian atau juga di School of African and Oriental studies (SOAS).Budaya Barat antaranya sesuatu perkara itu mesti dibuktikan mesti ada figure and fact. Bila umat Islam di label sebagai pengganas mereka belajar dan mencari jawapan. Terbukti Islam tidak pernah menggalakkan keganasan malah agama yang menggalakkan keamanan dan perdamaian. Jika ada umat Islam yang terlibat, itu bukan dari ajaran Islam tetapi berdasarkan salah faham mereka tentang Islam yang akhirnya bertindak mengikut taksub dan emosi semata2.Allah memberi hidayah dan akhirnya mereka menerima Islam.Sebahagian mereka amat mengkagumi Islam. Michael H Hart seorang Orientalis menyenaraikan dalam bukunya, 100 Personaliti Paling Berpengaruh- Nabi Muhammad s.a.w tempat pertama jasa dan sumbangannya kepada tamadun manusia di Timur dan Barat. CEO HP (Hewlett Packard) jenama gergasi komputer terkenal, Carly S Fiorina dalam ucapannya pada 26 sept 2001 di Minnepolis, bertemakan "Technology, Business And Our Way Of Life: Whats Next" menyebut,
"Pada suatu masa dulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tenteranya dianggotai oleh manusia dari pelbagai latarbelakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tiada tolok bandingnya.Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua2nya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan2 baru. Arkiteknya mampu membina bangunan tinggi melawan graviti. Pakar matematiknya mencipta konsep Algebra dan algoritma. Konsep2 ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh perubatannya menemui ubat2tan yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh astronominya meneropong ke langit dan memberi nama kepada bintang2 sekaligus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Tamadun yang saya maksudkan ini, sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 Masihi".
Di saat kita menyambut detik kelahiran Nabi ini, marilah kita renungkan banyak mana rasa kecintaan kita kepada Nabi, sejauhmana sunnah Nabi telah kita amalkan dan adakah perjuangan Nabi yang penuh dengan suka duka itu kita jadikan aspirasi perjuangan hidup kita. Sabda Nabi s.a.w:
"Tiga perkara ini sekiranya ada pada diri seseorang nescaya ia telah merasai Halawatul Iman- Kemanisan Iman. Apabila ia kasihkan Allah dan RasulNya melebihi kasihnya kepada yang lain dan seseorang yang takut melakukan perkara dosa dan maksiat sebagaimana ia takut akan dicampakkan ke dalam neraka penuh azab".
Tsauban r.a seorang sahabat Nabi kalau tak dapat melihat wajah Nabi wajahnya akan bertukar kepada sedih, bermasam muka, tidak ceria serba tidak kena apa yang dilakukan. Satu hari Nabi menegurnya, wahai Tsauban mengapa kamu sedih dan berdukacita. Tsauban menjawab macam mana saya tak sedih,, kamu wahai Rasulullah orang yang sangat mulia, sangat dekat dengan Allah pasti akan masuk syurga tapi kami manusia biasa tak tentu lagi berpeluang ke syurga apalagi dengan amalan kami yang sedikit ini. Nabi menjawab " Man Ahabbani Kaana Ma'ie Fil Jannah" Sesiapa yang kasihkan aku nescaya ia akan bersama ku di dalam syurga. Sahabat Nabi bernama Uwais al- Qarni yang tinggal di Yaman ketika mendengar kabar Nabi tercedera dalam Perang Uhud sehingga patah berdarah gigi baginda, perasaaan kasihnya pada Nabi begitu tinggi lalu ia mengambil batu dan mengetuk giginya sehingga berdarah semata2 nak merasai penderitaan Nabi s.a.w. Khalid Al-Walid seorang panglima Islam yang begitu tangkas dan berjaya memimpin 99 misi ketenteraan semuanya berakhir dengan kemenangan, bila ditanya macam mana ia boleh menang setiap kali memimpin peperangan. Khalid menjawab antaranya dengan mengambil berkat sehelai janggut Nabi s.a.w yang diletakkan pada topi besi setiap kali berangkat ke medan.. Hari ini giliran kita, sebagai tanda kasih, sayang dan bukti kita juga merasai kemanisan iman marilah kita perbanyakkan berselawat kepada Nabi s.a.w sedangkan Allah dan MalaikatNya berselawat kepada Nabi apalagi kita yang mengaku umat Nabi berselawatlah! nescaya kita juga berpeluang mendapat syafaat Nabi ketika Akhirat yang boleh jadi amalan baik dan buruk kita sama banyak... berkat berselawat, Nabi akan datang memberi syafaat dan pertolongannya dan membawa kita ke syurga serta menyelamatkan kita dari dicampak ke Neraka.Berkat berselawat juga moga hidup kita dirahmati Allah lalu Allah kurniakan kemurahan rezeki. Ikutilah Sunnahnya, di saat manusia melupai Sunnahnya marilah kita hidupkan Sunnah Baginda Nabi s.a.w dalam diri dan keluarga kita, ketika bekerja,menjamu hidangan, melayan anak isteri dan keluarga, sebagai pemimpin, ketua keluarga dll. pastikan Sunnahnya sentiasa kita amalkan. Terima kasih Wahai Rasulullah SAW.. Kehadiranmu membawa sinar menyelamatkan kami dari kegelapan dan kesesatan.
ALLAHUMMA SOLLI WASALLIM WA BARIK A'LAIH
Sesi Tazkirah akan disambung semula pada 5 Mac 2010
Semua dijemput hadir.
Saya juga mempelawa kepada semua staff IPPM yang ingin bertanyakan kemusykilan agama ataupun kaunselling keluarga untuk menghubungi saya samada melalui emel atau telefon. Terimakasih.
Disediakan oleh,
Us.Jamali bin Mohd Adnan
Ketua Unit Agama IPPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan