Rabu, 7 Julai 2010

TAZKIRAH KAT OPIS AKU

Nabi s.a.w menceritakan kisah 3 pemuda di kalangan Bani Israel yang terperangkap dalam sebuah gua ketika mereka berlindung dari hujan ribut, tiba-tiba pintu gua tersebut tertutup dengan sendiri. Mereka berusaha sedaya upaya untuk membuka batu yang menutupi gua berkenaan, tetapi usaha mereka sia-sia. Batu besar itu tidak sedikitpun berganjak. Lalu mereka berpakat mencari jalan bagaimana untuk mereka dapat keluar dari musibah tersebut. Akhirnya mereka bersetuju untuk memohon bantuan dan pertolongan dari Allah SWT dengan cara menyebut kebaikan yang pernah mereka lakukan. Moga-moga kebaikan tersebut menjadi syafaat.

Pemuda pertama menceritakan bahawa dia merupakan seorang penggembala kambing. Setiap hari dia tak pernah lupa untuk memberikan susu segar dari kambing tersebut untuk ayah dan ibubapanya. Sehinggalah satu hari dia terlewat dan bila sampai ke rumah ayah dan ibunya sudahpun tertidur. Didorong rasa bersalahnya, tidak mahu mengejutkan mereka yang sedang lena tidur dan keinginan untuk terus berbakti kepada orang tuanya pemuda tersebut memegang bekas berisi susu berkenaan sehingga keesokan harinya, ayah dan ibunya terjaga dari tidur dan dapatlah ia memberikan susu untuk diminum oleh mereka. Berkat kebaikan yang dilakukan tiba-tiba dengan izin Allah pintu gua tersebut terbuka sedikit, tetapi mereka masih tak boleh keluar lagi.
Iktibar kisah pemuda pertama ini, sebagai anak hendaklah kita taat kepada kedua ibubapa dan sentiasa berbakti kepada mereka serta sanggup berkorban apa saja. Ini kerana tanpa ibubapa tiadalah kita di dunia ini. Mereka telah berkorban membesar, mendidik dan memberi apa saja keperluan yang kita ingini sampailah masanya bila mereka telah tua dan berpenyakit untuk kita membalas balik jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Nabi s.a.w pernah menyatakan bahawa keredhaan Allah kepada hambanya bergantung kepada keredhaan orang tuanya dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemarahan orang tuanya. Dilaporkan dalam Harian Metro di Kangar baru2 ini bagaimana nasib malang 2 bapa yang dibuang oleh anak sendiri di tepi jalan kerana desakan isteri yang enggan memelihara mereka setelah umur lanjut dan berpenyakit.

Saya teringat kisah seorang sahabat Nabi bernama Alqamah seorang pemuda yang baik dan banyak beramal. Tetapi di saat nazaknya hampir meninggal dunia dia tak boleh mengucap syahadah walaupun kalimah tersebutlah yang menjadi sebutannya setiap waktu. Bila perkara ini diadukan kepada Nabi, Nabi s.a.w bertanya adakah Alqamah masih mempunyai ibu. Ya, Alqamah masih mempunyai ibu yang telah lanjut usianya. Bila ditanya oleh Nabi apakah ada dosa Alqamah kepadanya,ibu tersebut menjawab Alqamah anak yang dikasihinya. Satu hari setelah Alqamah berkahwin, ibu inipun dengan bersusahpayah memasakkan makanan yang disukai oleh anaknya dan setelah siap diapun membawa makanan kepada Alqamah untuk dimakan bersama Alqamah dan menantunya. Malangnya makanan tersebut tidak dihidangkan menyebabkan ibu itu merasa amat terkilan serta sakit hati dengan perbuatan anaknya tersebut dan sebab dosa itu Alqamah tak boleh mengucap. Nabi s.a.w berkata adakah kamu ampunkan kesalahannya wahai ibu. Dengan tegas ibu Alqamah tidak memaafkan anaknya. Nabi memerintahkan para sahabat untuk mengumpulkan kayu api bagi membakar Alqamah yang berdosa pada ibunya dan masih gagal mengucap syahadah. saat api dinyalakan dan naik bahang panas, naluri ibu akhirnya lembut dan memaafkan anaknya sehingga akhirnya Alqamah dapat mengucap syahadah dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah.

Begitu juga kisah Juraij seorang pemuda bani Israel yang taat kepada Allah dan banyak beramal. Satu masa ketika dia sedang khusyuk menunaikan solat sunat ibunya datang memanggilnya. Juraij berbelah bagi antara ibunya atau solatnya. Akhirnya walaupun ibunya memanggil berkali2 Juraij tetap terus menunaikan solatnya. sedangkan menjawab panggilan ibu adalah wajib berbanding solat sunatnya. Ibu merasa kecewa dan amat sakit hati lalu berdoa kepada Allah supaya Juraij diuji dengan perempuan. Satu masa kemudian di kampung tersebut heboh berita seorang perempuan yang mengandung dan melahirkan anak. Bila ditanya siapakah bapa bayi tersebut, dengan pantas wanita tersebut menjawab Juraij si alim yang sedang beribadat itu. Dengan perasaan marah orang kampung beramai2 meluru ke tempat Juraij dan memukulnya sehingga cedera parah. Sehingga akhirnya dia minta kepada orang ramai untuk bertanya sendiri kepada bayi yang baru lahir tersebut siapakah bapanya yang sebenar. Subhanallah, bayi yang masih merah tersebut ditaqdirkan Allah bercakap dan memberitahu bapanya bukan Juraij tetapi seorang penggembala kambing. Juraij terlepas dari musibah tetapi ia sedar inilah balasan Allah atas dosanya menyakiti ibunya sendiri.

Kita yang masih mempunyai ayah dan ibu jagalah hati mereka, bela dan peliharalah mereka sebaiknya. Ciumlah pipi dan tangan mereka yang boleh jadi esok lusa pergi meninggalkan kita. Ingatlah kita berbuat baik kepada mereka nescaya Allah balas dengan kita akan disayangi dan dihormati anak kita nanti, tetapi sekiranya kita derhaka dan buang mereka tunggulah balasan tunai kita sendiri akan dibuang oleh anak kita nanti. ALLAH Maha Adil dan cepat balasannya. Kita yang telah kehilangan ibu dan ayah teruslah berbakti kepada mereka sebagai seorang anak yang soleh dengan sentiasa melakukan amal soleh, panjangkan doa kepada mereka moga2 kubur mereka bercahaya, dan hubungkan silaturrahim dengan sahabat2 ibu dan ayah masa hidup mereka dulu serta tunaikan hutang mereka kepada Allah dan sesama manusia yang masih tertunggak....


to be continued...
Program Tazkirah setiap Jumaat 8.35-9.15 semua dipersilakan hadir.
TAZKIRAH PADA SETIAP HARI JUMAAT MINGGU KEDUA DAN KEEMPAT KAT OPIS AKU.

Tiada ulasan:

Halaman